1,300 anggota polis ditugaskan pantau sambutan Thaipusam Batu Caves 


Pihak pengurusan Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves akan menyediakan tiga pas khas bagi penganut yang hadir untuk upacara 'paal koodam', aktiviti sembahyang serta untuk berada dalam perkarangan kawasan sambutan Thaipusam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

KIRA-kira 1,300 anggota polis ditugaskan membuat kawalan serta  memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selain memastikan kelancaran sambutan Thaipusam di Batu Caves mulai esok hingga Jumaat depan. 

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata ia melibatkan 10 Pegawai Kanan Polis dan 308 Pegawai Rendah Polis daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), yang akan memulakan tugas berkenaan dari pukul 7 petang esok sehingga pukul 12 tengah malam pada 21 Januari ini.

“Penugasan turut dibantu jabatan dan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini. 

Beliau berkata pihak pengurusan Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves akan menyediakan tiga pas khas bagi penganut yang hadir untuk upacara ‘paal koodam’ (membawa belangga susu), aktiviti sembahyang serta untuk berada dalam perkarangan kawasan sambutan itu.

Katanya selaras dengan larangan upacara membawa kavadi pada sambutan Thaipusam kali ini, polis akan mengenakan kompaun kepada mana-mana pihak yang ingkar dengan arahan itu, selain kompaun kepada mereka yang tidak mematuhi SOP.

Sementara itu Zainal Mohamed berkata polis akan menutup tujuh laluan sekitar Batu Caves semasa perarakan, membabitkan laluan di kawasan lampu trafik Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah MRR2 ke Kuil Batu Caves, Jalan Batu Caves Lama ke pintu masuk utama kuil. 

“Selain itu penutupan laluan melibatkan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves hadapan Stesen Minyak Shell, simpang tiga Jalan SBC 8/ Jalan Batu Caves Lama, susur MRR2 dari Seri Gombak ke susur Perusahaan, dan akhirnya Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves,” katanya. 

“Beberapa laluan alternatif dalam masa sama dibuka untuk melicinkan kelancaran trafik dan urusan masyarakat sekitar kawasan Gombak dan Batu Caves sepanjang sambutan itu,” tambahnya. – Bernama, 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen