Kesan sampingan vaksin bukan petanda buruk, kata KP kesihatan 


Noel Achariam

KESAN sampingan selepas vaksinasi dan suntikan dos penggalak Covid-19 adalah perkara biasa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Menurutnya setiap vaksin mempunyai kesan sampingan seperti sakit otot, demam atau sakit kepala.

“Sesetengah vaksin Covid-19 lebih berkemungkinan memberi kesan sampingan tersebut daripada kebiasaan.

“Namun saintis yang bekerja rapat dengan vaksin menekankan bahawa apabila vaksin membuat anda berasa sakit, ia hampir bukan petanda buruk,” katanya di Facebook.

Noor Hisham berkata apabila orang ramai memahami mengapa kesan sampingan vaksin berlaku, mereka mungkin menerima sakit kepala itu.

Sehingga semalam, 22,901,050 orang, atau 97.8% daripada populasi dewasa di negara ini telah diberi vaksin sepenuhnya.

Data di laman web CovidNow Kementerian Kesihatan menunjukkan 23,181,492 orang, atau 99% daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata lebih 10 juta orang akan menerima suntikan dos penggalak Covid-19 minggu depan.

“Setakat 11.59 malam Khamis, hampir sembilan juta dos penggalak telah diberikan,” katanya menerusi Twitter.

Hasil daripada program dos penggalak yang dipercepatkan dan usaha pembendungan, hospital masih beroperasi dalam kapasiti walaupun terdapat gelombang kes import Omicron, kata Khairy.

Pada 18 Disember, Khairy juga berkata pusat vaksinasi mega akan dibuka semula di Lembah Klang. – 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen