Doktor kontrak layak untuk latihan pakar, kata KP kesihatan


Noel Achariam

Hartal Doktor Kontrak merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kerana menunaikan janji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

DOKTOR kontrak kini layak mendapat biasiswa untuk menjalani latihan pakar di bawah tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata di Twitter bahawa pihaknya berharap untuk mempunyai penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang baik tidak lama lagi.

“Perbincangan dan penglibatan dengan kementerian dan agensi lain sedang berjalan. InsyaAllah,” tulisnya.

Terdahulu hari ini, Hartal Doktor Kontrak merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan pasukannya kerana menunaikan janji mereka.

Ini, kata mereka adalah bagi memastikan doktor kontrak layak memohon HLP bagi membolehkan mereka mengkhusus dalam bidang yang diminati.

“Khairy sememangnya telah membuktikan kesediaan dan keazamannya untuk menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak sejak lima tahun lalu.

“Kami berharap terma dan syarat untuk memohon HLP akan diputuskan tidak lama lagi. Kami juga percaya Khairy juga akan mengambil tindakan yang perlu untuk menyelesaikan masalah lain yang dihadapi oleh doktor kontrak, seperti yang disampaikan semasa pertemuannya dengan HDK pada 21 Sept 2021,” kata mereka daalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata isu lain termasuk syarat telus dan pemilihan doktor kontrak untuk diserap ke jawatan tetap.

Kata mereka ini termasuk kenaikan pangkat berdasarkan masa, cuti bahaya, cuti kanser dan faedah lain yang tidak tersedia pada masa ini untuk doktor kontrak.

Mereka juga menggesa agar Akta Pencen 1980 dipinda bagi memastikan semua doktor kontrak menerima jawatan tetap serta perlindungan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Kumpulan itu telah beberapa kali menuntut jawatan tetap dan layanan adil untuk semua pegawai perubatan kontrak, memandangkan isu itu berlarutan sejak 2016, apabila sistem kontrak itu diperkenalkan oleh kerajaan ketika itu.

Tahun lepas, Khairy berkata nasib doktor kontrak dalam perkhidmatan kerajaan yang menuntut untuk jawatan tetap akan dibangkitkan dalam Kabinet.

Beliau berkata penyelesaian kepada perkara ini perlu bagi mengelakkan isu itu daripada berlarutan.

Pada 9 November lalu Khairy berkata kerajaan akan menawarkan jawatan tetap kepada 4,186 pegawai perubatan kontrak.

Hanya 789 daripada 23,077 pegawai perubatan kontrak dalam perkhidmatan sejak 2016 telah ditawarkan jawatan tetap.– 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen