Kilang perabot 'kebal', gajikan pekerja tanpa izin, kata penguatkuasa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pegawai penguatkuasa MPS Mohd Hafiz Bidin memberitahu The Malaysian Insight pemeriksaan pihaknya mendapati kilang itu diuruskan seorang penyelia warga tempatan dan menggaji sekurang-kurangnya 15 pekerja Bangladesh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

SEBUAH kilang perabot di Batu Caves, Selangor dipercayai ‘kebal” daripada penguatkuasaan biarpun menggaji lebih 15 pekerja asing tanpa izin, kata pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Penduduk setempat juga sudah mengadu perkara itu kepada Jabatan Imigresen namun tidak mendapat maklum balas yang memuaskan, kata persatuan penduduk.

Pegawai penguatkuasa MPS Mohd Hafiz Bidin memberitahu The Malaysian Insight pemeriksaan pihaknya pada 15 November lalu mendapati kilang itu diuruskan seorang penyelia warga tempatan dan menggaji sekurang-kurangnya 15 pekerja Bangladesh.

“Ketika membuat pemeriksaan, saya mendapati majoriti pekerjanya tiada dokumen sah untuk berada di Malaysia, ada yang salah guna permit, tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan langsung.

“Saya cuma berharap tindakan penguatkuasaan susulan akan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan polis supaya mereka tidak terus ‘kebal’,” katanya  kepada The Malaysian Insight.

Dalam surat kepada Unit Aduan Pendatang Asing JIM, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Sungai Tua Bharu, Batu Caves, Ramly Jamaluddin membangkit isu kilang dan kediaman pekerja yang didakwa dibangunkan tanpa izin di kawasan mereka.

“Ini mendatangkan kacau ganggu keselamatan dan masalah sosial kepada penduduk di kawasan sekitar. Penduduk kurang senang dengan masalah ini,” tulisnya dalam surat bertarikh 6 Disember yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Menurut Mohd Hafiz, dua minggu sebelum itu, penguatkuasa MPS memeriksa kilang berkenaan hasil maklumat orang awam.

“Kami mendapati premis berkenaan dijalankan di tapak haram dan tidak memiliki lesen perniagaan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

“Pada hari yang sama, kami turut menampal notis di luar premis dan menyita premis selain menyatakan mereka tidak dibenarkan meneruskan operasi,” katanya.

Namun dua hari kemudian kilang itu menutup pintu hadapan dan beroperasi semula, yang beliau sifatkan seolah-olah “kebal” dan mencabar pihak berkuasa.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Ketua Pengarah JIM Khairul Dzaimee Daud tetapi belum mendapat sebarang maklum balas. – 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen