Russia rancang sabotaj mewajarkan pencerobohan Ukraine, kata AS


Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki berkata AS ada maklumat menunjukkan Russia menetapkan sekumpulan operasi untuk menjalankan operasi bendera palsu di timur Ukraine. – Gambar EPA, 15 Januari, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) menuduh Russia menghantar individu terlatih dalam bahan letupan bagi tujuan sabotaj sebagai alasan untuk menyerang Ukraine.

Ia turut dikaitkan dengan laman web kerajaan Ukraine yang “ditewaskan” dalam serangan siber yang dikaitkan dengan Moscow.

Tuduhan dan insiden itu menyebabkan ketegangan mengenai Ukraine semakin meningkat hanya selepas seminggu rundingan antara Barat dan Russia diadakan mencari penyelesaian diplomatik.

Russia bertindak mengumpulkan kereta kebal, artileri dan puluhan ribu tentera berhampiran sempadan Ukraine bagi menuntut jaminan bahawa negara jirannya itu tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Negara itu semalam mengumumkan kerjasama siber baharu dengan Kiev sebagai tindak balas terhadap serangan terbabit.

White House melalui risikannya menemui maklumat Russia mengukuhkan kerja asas bagi mewujudkan alasan untuk pencerobohan dengan menyalahkan Ukraine.

“Kami ada maklumat menunjukkan Russia menetapkan sekumpulan operasi untuk menjalankan operasi bendera palsu di timur Ukraine,” kata Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki.

“Operasi itu dilatih dalam peperangan bandar dan menggunakan bahan letupan untuk melakukan tindakan sabotaj terhadap pasukan proksi Russia sendiri,” katanya.

Psaki berkata risikan AS percaya Russia akan memulakan operasinya itu beberapa minggu sebelum pencerobohan ketenteraan yang dijangka bermula antara pertengahan Januari hingga Februari.

Sementara itu, Russia menafikan rancangan untuk menyerang Ukraine, sekaligus menolak kenyataan terbaru AS itu.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas. – AFP, 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen