Pelajar Indonesia jual swafoto AS$1juta di NFT


Sultan Gustaf Al Ghozali, pelajar sains komputer di institusi pengajian tinggi di Semarang mengambil gambar dirinya sedang duduk di depan komputer setiap hari sejak lima tahun lalu. – Gambar AFP, 15 Januari, 2022.

SEORANG pelajar kolej di Indonesia menjual hak digital untuk swafotonya yang kini terjual lebih AS$1 juta (RM4 juta) kepada platform perdagangan NFT yang menggunakan mata wang kripto.

Sultan Gustaf Al Ghozali, pelajar sains komputer di institusi pengajian tinggi di Semarang mengambil gambar dirinya sedang duduk di depan komputer setiap hari sejak lima tahun lalu.

Beliau berhasrat menggunakan koleksi membabitkan hampir 1,000 swafotonya bagi membuat video “penetapan masa” ketika hari konvokesyennya nanti.

Namun, selepas mempelajari mengenai teknologi “blockchain”, pemuda berusia 22 tahun itu memutuskan untuk memuat naik gambarnya di NFT dengan tajuk “Ghozali Setiap Hari”.

“Saya fikir mungkin lucu jika ada individu mahu mengumpul gambar saya.

“Pada mulanya, saya hanya letak gambar itu berharga AS$3 (RM12) kerana tidak pernah terfikir ada orang ingin membeli swafoto,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kampus universitinya, semalam.

Namun, ia menjadi kejutan buat Ghozali apabila satu gambar swafotonya semalam dijual pada 0.247 matawang kripto atau AS$806.

NFT mengubah barangan digital daripada ilustrasi kepada meme buat pengumpul barangan maya yang tidak boleh disalin semula.

Ghozali mula memuat naik swafotonya akhir Disember lalu, namun jualannya meningkat selepas seorang chef selebriti mempromosikan gambar itu di laman sosialnya.

“Secara jujurnya, saya masih belum berani untuk memberitahu ibu bapa saya kerana mereka pasti hairan dari mana saya dapat duit sebanyak itu,” katanya. – AFP, 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen