Djokovic mungkin ditahan lagi di Australia


Pemain tenis dunia Novak Djokovic dijangka ditahan sekali lagi di Australia hari ini selepas pihak berkuasa membatalkan visanya untuk kali kedua, susulan tiada sijil vaksin Covid-19. – Gambar EPA, 15 Januari, 2022.

NOVAK Djokovic dijangka ditahan sekali lagi di Australia hari ini susulan pihak berkuasa membatalkan visanya untuk kali kedua dan mengisytiharkan bintang tenis yang tidak divaksin itu, menjadi ancaman kepada masyarakat.

Hanya dua hari sebelum Terbuka Australia bermula, pemain tenis dunia itu sekali lagi membantah ditahan dan dihantar pulang – dalam isu terbaru Djokovic berkaitan status vaksin Covid-19.

Djokovic dipanggil ke jabatan imigresen di Melbourne sebelum dibawa ke mahkamah pada hari ini dan esok.

Beliau dijangka ditahan, tetapi akan dibenarkan hadir untuk prosiding mahkamah.

Ini cubaan kali kedua kerajaan Australia untuk menghantar pulang Djokovic, antara individu berprofil tinggi yang memandang skeptikal terhadap vaksin Covid-19.

Warganegara Serbia berusia 34 tahun itu menggunakan pengecualian perubatan untuk masuk ke Australia pada awal bulan ini, menyandarkan harapan untuk merebut gelaran Grand Slam pada kejohanan itu.

Ramai rakyat Australia – yang terpaksa menjalani perintah berkurung dan sekatan perjalanan sempadan – percaya Djokovic mempermainkan sistem untuk mengelak mematuhi arahan vaksin untuk syarat kemasukan.

Tetapi kerajaan dimalukan apabila seorang hakim mengembalikan visa Djokovic dan membenarkan beliau kekal berada di negara ini.

Kali ini, kerajaan mengguna pakai kuasa eksekutif yang sukar dicabar untuk mengisytiharkan beliau ancaman kepada kesihatan dan keselamatan umum. – AFP, 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen