POLIS menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM1.5 juta dalam serbuan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor, pada Selasa.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Mohd Shokri Abdullah, berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun ditahan pada jam 8.40 malam di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya, Jalan Klang Lama dan sebuah kondominium di Puchong.
Beliau berkata, hasil kedua-dua serbuan, polis merampas 26.1 kilogram ketamin, 28 gram heroin dan 4,800 biji pil ekstasi yang kesemuanya bernilai lebih RM1.5 juta selain wang tunai berjumlah RM2,280.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan dadah itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang yang mampu menampung seramai 57,056 pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Shokri berkata, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak sebulan lalu dan menjadikan unit kondominium yang mempunyai kawalan keselamatan ketat dengan sewaan RM1,700 sebulan sebagai tempat simpanan dadah sebelum diedar kepada pembeli.
Beliau berkata, semua lelaki itu direman hingga 17 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – Bernama, 14 Januari, 2022.
Komen