2 polis ditahan reman kematian tahanan di Taiping


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suspek pencuri kenderaan bermotor yang mati dalam lokap itu adalah tahanan dari Penjara Taiping. – Gambar Facebook, 14 Januari, 2022.

DUA anggota polis ditahan reman berhubung kematian suspek pencuri kenderaan bermotor berusia 63 tahun di ibu pejabat polis daerah Taiping di Perak, menurut Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad, berkata siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) dimulakan sejak kes itu dilaporkan semalam.

Kematian tahanan berusia 63 tahun itu adalah kes sulung yang disiasat USJKT.

“USJKT memulakan siasatan pada 13 Januari, iaitu pada hari sama berlakunya kejadian.

“Siasatan membawa kepada penahanan dua tahanan lain dan dua anggota polis. Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Januari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

The Malaysian Insight melaporkan semalam individu yang mati dalam lokap itu adalah tahanan dari Penjara Taiping.

“Dia dituduh pada 18 April tahun lalu mengikut Seksyen 379A dan 324 Kanun Keseksaan.

“OKT (orang kena tuduh) ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes kelmarin sementara menunggu sebutan seterusnya esok,” kata Azri.

Unit khas USJKT mula beroperasi pada 1 Januari, khusus bagi menangani kematian dalam tahanan yang sering menjejaskan imej pasukan polis.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengumumkan, sebanyak 82 kes kematian dalam lokap direkodkan dari 2015 hingga 30 November 2021.

Daripada jumlah itu, 42 daripadanya adalah Melayu, 13 Cina, 15 India dan 12 warga asing.

Selain kematian dalam lokap, turut direkodkan 94 kematian dalam tahanan dalam tempoh yang sama. – 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen