Ucapan selamat jalan buat Shebby


Elill Easwaran

Rakan dan ahli keluarga hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Januari, 2022.

GOPINATH Naidu tidak dapat meluahkan sebarang kata-kata mengenai kematian mengejut rakan lamanya dan bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth ‘Shebby’ Singh.

Dia menganggap kematian Shebby satu kehilangan besar buat negara, sambil menyatakan mendiang juga salah seorang individu yang paling berpengetahuan dalam industri bola sepak Malaysia.

“Kami bermain bersama untuk Kuala Lumpur dan saya masih ingat bagaimana beliau sentiasa menasihati saya. Beliau selalu menyuruh saya membaca dan menimba ilmu.

“Beliaulah yang membimbing saya sepanjang kerjaya saya dan walaupun selepas bersara, beliau tetap meluangkan masa untuk menasihati saya mengenai kehidupan,” katanya di Krematorium Loke Yew di Kuala Lumpur hari ini.

Shebby meninggal dunia susulan serangan jantung ketika berbasikal di Johor Bahru pada Rabu.

Gopinath yang pernah tinggal sebumbung dengan Shebby berkata, dia akan cuba sedaya upaya untuk bangkit dan membimbing anak muda seperti yang dilakukan Shebby.

“Shebby adalah inspirasi penting buat golongan belia, terutama mereka yang datang dari pekan kecil. Saya akan cuba sedaya upaya untuk membimbing anak muda seperti yang dilakukannya,” katanya.

Bekas pemain Kuala Lumpur, Stanley Bernard berkata, ia satu kerugian besar buat negara kerana tidak ramai pemain bola sepak yang memiliki kabinet trofi seperti Shebby.

“Saya juga pernah menjadi pengulas TV bersama Shebby. Walaupun kami sentiasa berbeza pendapat, kami amat menghormati antara satu sama lain.”

Stanley, yang juga ketua pegawai eksekutif pasukan bola sepak Kuala Lumpur berkata, kelab itu akan merancang satu sesi penghormatan buat Shebby tidak lama lagi.

Turut hadir pada majlis penghormatan terakhir itu Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.

“Ramai bukan sahaja memandang tinggi kepada gaya permainannya sebagai pemain tetapi juga cara beliau menganalisis permainan sebagai pengulas.

“Kenangan terindah saya bersama Shebby adalah bermain perlawanan persahabatan dengannya di Manchester (England) pada awal 90-an,” katanya.

Ramai bekas atlet hadir pada upacara itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Shebby.

Antaranya bekas pemain bola sepak Santokh Singh, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan.

Sementara itu, bekas pemenang dua pingat emas acara baling tukul besi Sukan SEA, Semret Singh berkata, beliau pernah berada di kem yang sama dengan Shebby semasa temasya dwitahunan itu.

“Walaupun kami tidak bermain sukan yang sama, Shebby seorang yang tahu sesuatu mengenai setiap sukan dan itulah caranya kami menjadi kawan.

“Saya tidak pernah bertemunya sejak pandemik Covid-19 dan amat menyedihkan melihatnya pergi.

“Saya harap ramai anak muda akan menjadikan Shebby sebagai model kerana beliau adalah antara atlet paling berdisiplin yang pernah dihasilkan negara ini,” katanya.

Shebby memulakan kerjayanya sebagai pemain pertahanan bersama Johor, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 1983.

Beliau juga pernah beraksi dengan Negeri Sembilan dan Pahang, sebelum menamatkan kariernya bersama Perak pada 1996.

Beliau memenangi pingat emas Sukan SEA pada 1989.

Selepas bersara daripada bola sepak profesional, beliau menghabiskan masa lebih 20 tahun sebagai pengulas bersama beberapa saluran media termasuk Astro Supersport, FoxSports dan ESPN.

Beliau juga bertugas sebagai penasihat global kelab Liga Kejuaraan Inggeris Blackburn Rovers pada musim 2012-2013. – 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen