Pertembungan 3 penjuru, persempadanan semula tak jejas Pakatan di Selangor


Liow Sze Xian

Pakatan Harapan yakin persempadanan semula yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di Selangor tidak akan mampu menjadikan negeri terkaya di Malaysia itu jatuh ke tangan Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2018.

AHLI majlis eksekutif kanan Selangor Teng Chang Khim percaya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang akan memberi manfaat kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan cadangan persempadanan semula.

Badan pemikir kerajaan negeri, Institut Darul Ehsan (IDE) sebelum ini berkata langkah persempadanan semula SPR itu akan memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN), yang boleh memenangi sehingga 20 kerusi, PAS (9), DAP (15) dan PKR (12) berdasarkan pada trend mengundi 2013.

Bagaimanapun, Teng berkata walaupun PH kehilangan enam kerusi negeri yang terjejas oleh persempadanan semula kepada BN, pembangkang Selangor hanya mempunyai 18 kerusi di negeri itu.

“Sekarang pembangkang (Umno) hanya mempunyai 12 kerusi, dengan peningkatan enam, ia hanya ada 18 sahaja. Selangor mempunyai 56 kerusi, mana-mana pihak perlu menang 29 kerusi untuk mentadbir.

“Sekalipun kita hilang semua enam kerusi, ditambah dua wakil bebas dan 12 kerusi yang dipegang oleh Umno, kita masih mempunyai 36 kerusi. Inilah keadaan pada 2018,” kata Teng kepada The Malaysian Insight.

Enam kerusi di Selangor yang akan dipengaruhi oleh persempadanan semula ialah Bukit Antarabangsa (PKR), Ijok (PKR), Hulu Kelang (Amanah), Sijangkang (PAS), Morib (Amanah) dan Cempaka (PAS).

Teng berkata BN mahu memenangi semua kerusi ini dengan menyusun semula sempadan pilihan raya untuk menjadikannya daripada kerusi campuran kepada kerusi majoriti Melayu tetapi tidak mencukupi untuk membantu BN menawan semula Selangor, negeri terkaya di Malaysia.

Bekas speaker Selangor dan ahli jawatankuasa pusat DAP itu menambah PH tidak terjejas dengan kemungkinan kerjasama antara PAS dan Umno di Selangor.

Beliau berkata cubaan PAS dan Umno memainkan sentimen agama atau perkauman di Selangor hanya akan memakan diri kerana pengundinya lebih pandai menilai.

“BN tidak sepatutnya berfikir mudah untuk menipu rakyat terutamanya di Selangor. Pengundi mendapat maklumat mereka daripada pelbagai sumber, bukan hanya media rasmi,” kata Teng.

Beliau berkata PAS lemah selepas meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dan malah Umno yang tidak mempunyai calon menteri besar bukanlah ancaman kepada PH.

“Jangan lupa PAS bergantung pada sokongan pengundi Cina terhadap kami (PR) untuk menang. Mereka akan kehilangan kerusi (13) sekarang tanpa sokongan pengundi Cina.

“Terutamanya pada 2013, majoriti yang diperoleh dalam tujuh hingga lapan kerusi adalah daripada undi bukan Melayu.”

Sebagai pakatan, PR berjaya memenangi lebih dua pertiga daripada 56 kerusi di Selangor pada 2013, dengan PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi dan PKR 14.

Kecuali Umno, parti komponen BN lain berjaya dikalahkan di Selangor. BN memenangi 12 kerusi, terutama di kawasan luar bandar.

Teng percaya bekas penyokong PR, termasuk pengundi Melayu, akan mengundi PH bukannya PAS dalam PRU14 yang perlu diadakan sebelum Ogos.

Oleh itu, PH sepatutnya dapat merampas beberapa kerusi daripada PAS yang rekod pemilihan terbaiknya di Selangor apabila ia bertanding bersendirian memenangi empat daripada 48 kerusi negeri pada PRU 1999.

Tujuh kerusi PAS menang pada 2008 dan kemudian 13 kerusi pada 2013 disebabkan sokongan keseluruhan PR dan bukan semata-mata usaha parti Islam itu sendiri, kata Teng.

“Kalau PAS tidak bekerjasama dengan kita (PH), kekuatannya di Selangor tidak akan kuat seperti sebelumnya.

“Sekarang mereka kembali kepada kedudukan dahulu. Dalam senario terbaik, mereka boleh mengulangi pencapaian mereka untuk memenangi empat kerusi pada 1999,” kata Teng.

Oleh kerana parti Islam kini keluar daripada pakatan pembangkang, kelebihan yang diperoleh sejak tsunami politik 2008 akan lenyap, katanya.

PH kini memegang 29 daripada 56 kerusi negeri di Selangor, diikuti oleh PAS (13), BN (12) dan dua wakil bebas.

Beliau berkata PAS mungkin menjadi “pengacau” bagi BN di Selangor dan bukannya PH.

Lebih penting lagi, PH mempunyai sokongan pengundi akar umbi memandangkan ia  meningkatkan infrastruktur tempatan, ekonomi negara dan memperkenalkan beberapa program kebajikan untuk rakyat, kata Teng.

“Kita tidak perlu bergantung kepada sentimen anti-BN. Kita boleh menggunakan pencapaian kita di Selangor dalam tempoh 10 tahun lalu (untuk memenangi rakyat).

“Saya rasa kami berada pada tahap terbaik sekarang berdasarkan rekod tadbir urus kami.” – 5 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • cakap besau nampak..kita tengok nanti cmne..jgn bersedih pulak kalau dah kalah..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan