Ibu bapa gesa guru degil enggan vaksin dikenakan tindakan


Ragananthini Vethasalam

Setakat 31 Oktober tahun lepas, 99.04% guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 manakala 97.5% divaksin sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

KETIKA sesi persekolahan bermula kumpulan ibu bapa menggesa supaya tindakan diambil terhadap guru yang tidak mengambil suntikan vaksin.

Pada masa sama mereka mengakui ada segelintir guru yang sebelum ini teragak-agak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, memutuskan untuk disuntik berikutan bantahan orang ramai.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekolah memaklumkan kepada guru yang enggan divaksin yang mereka akan diberi tugas lain.

“Sesetengah sekolah mengenepikan kumpulan guru ini, sekali gus menyusahkan mereka. Kami sendiri sarankan supaya guru seperti ini bersara atau letak jawatan demi keselamatan pelajar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Guru yang tidak divaksin perlu ambil ujian PCR setiap minggu guna wang mereka sendiri walaupun mereka tidak berhadapan dengan pelajar.”

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata beliau bingung kerana tiada tindakan diambil terhadap guru yang belum divaksin.

“Tiada tindakan diambil, walaupun pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam pada 18 Oktober, 2021 menyatakan pada atau selepas 1 November, mana-mana penjawat awam yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan,” katanya.

Mak berkata jabatan pendidikan negeri masih cuba menasihati guru yang belum divaksin walaupun bilangannya kecil.

“Apa yang boleh dibuat oleh pengurusan sekolah untuk melindungi pelajar dan untuk hilangkan ketakutan ibu bapa serta risiko dijangkiti kumpulan guru ini?” soal Mak.

“Tetapi memandangkan dasar kerajaan ialah tindakan akan diambil terhadap penjawat awam seperti guru (yang tidak divaksin), kami benar-benar mahu mereka tunaikan janji.

“Mereka tidak boleh biarkan pengetua atau guru besar jawab bagi pihak mereka tanpa beritahu cara uruskan guru ini,” katanya.

Beliau berkata selain mengasingkan guru berkenaan, pihak sekolah tidak boleh mengambil tindakan lain terhadap guru tersebut.

“Kenapa mereka tidak larang guru ini ke sekolah? Seperti mana kita tidak dibenarkan makan di kedai atau masuk ke pusat beli-belah jika tidak lengkap divaksin,” kata Mak.

“Kita tahu ada isu undang-undang di sini tetapi ada tindakan lain yang boleh diambil seperti memindahkan guru yang degil ini jauh-jauh.”

Beliau berkata Kementerian Pendidikan mesti sudah tahu tindakan yang perlu diambil terhadap guru yang bertegas untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin.

Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mah Hang Soon berkata setakat 31 Oktober tahun lepas, 99.04% guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 manakala 97.5% divaksin sepenuhnya.

Sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka semula pada 9 Januari, manakala sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dibuka semula sehari lebih awal. – 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen