Pengarang Turki Ahmet Altan akui selesa dipenjara daripada hidup dalam buangan


Ahmet Altan diraikan di Jerman dan Perancis di mana beliau menang hadiah sastera semasa dalam penjara, namun di tanah airnya beliau dilayan secara berbeza. – Gambar AFP, 14 Januari, 2022.

DIBEBASKAN selepas hampir lima tahun dipenjarakan kerana didakwa terlibat dalam rampasan kuasa, wartawan dan pengarang Turki Ahmet Altan, 71, kini menghitung masanya dengan jumlah buku yang akan dikarangnya.

Diraikan di Barat, terutamanya di Jerman dan Perancis di mana beliau menang hadiah sastera semasa masih di dalam penjara, namun berbeza dengan tanah airnya yang memberi ancaman terhadap Altan.

Bercakap kepada AFP di flatnya di Istanbul, Altan berkata beliau lebih suka menghabiskan hari-hari terakhirnya di penjara Turki “di mana saya bercakap bahasa ibunda saya” daripada menjadi seorang lelaki bebas dalam buangan, di mana “anda tiada apa dan tidak berakar”.

“Penulis sangat bimbang kerana setiap detik adalah detik yang anda boleh guna menulis, anda boleh buat kerja anda, jadi setiap detik anda tidak menulis, anda berasa menyesal,” katanya dalam bahasa Inggeris yang fasih.

“Saya rasai ini sekarang berbanding sebelum penjara,” katanya, bersandar di kerusi kulit hitam yang diapit timbunan buku.

Balas dendam

Altan, yang telah menjual hampir tujuh juta buku di seluruh dunia, merupakan salah seorang daripada berpuluh-puluh ribu rakyat Turki yang dipenjarakan atau dipecat daripada pekerjaan mereka dalam pembersihan berikutan percubaan rampasan kuasa 2016 terhadap Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Intelek yang lemah lembut itu dikurung di Silivri, sebuah kompleks penjara Istanbul yang dilengkapi dengan bilik mahkamah terbesar di Turki yang menjadi tempat utama perbicaraan besar-besaran yang menyaksikan lebih 2,500 suspek dipenjarakan seumur hidup.

Kerajaan Turki menutup akhbar Taraf yang diasaskan Altan atas dakwaan ia telah mendapat sokongan kewangan daripada seorang ulama Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang Erdogan salahkan kerana merancang rampasan kuasa.

Dibebaskan awal atas perintah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, yang mendapati “tiada bukti” kesalahan, Altan kembali kepada keluarganya setelah menulis dua lagi buku dalam penjara dan hampir menyelesaikan satu pertiga.

Yang pertama, memoir penjara yang dipanggil “I Will Never See the World Again”, telah diterjemahkan ke dalam 28 bahasa tetapi tidak pernah diterbitkan di Turki.

Beliau menerangkan novel yang kedua “Lady Life”, sebagai pujian kepada kebebasan dan “balas dendam” peribadinya.

Ia menjadi buku terlaris di Turki selepas dikeluarkan, merangkul hadiah buku luar Prix Femina Perancis pada 2021.

“Ia seperti berkata, ‘anda tidak boleh curi lima tahun itu daripada saya’,” kata penulis berjanggut perang itu mengenai novel itu, di antara sedutan rokok.

Beliau teringat menulis “lapan atau sembilan jam sehari”, manakala dua rakan selnya mengomel tentang asap rokok yang tidak berkesudahan. – AFP, 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen