APABILA polis keselamatan Hong Kong mengetuk pintunya sebelum subuh bulan lalu, wartawan Ronson Chan tidak terkejut namun gemetar.
Tindakan keras China terhadap perbezaan pendapat telah membungkam atau memenjarakan kebanyakan aktivis demokrasi Hong Kong dan kini mula memberi tumpuan kepada media.
Chan tahu beliau menjadi sasaran sebagai pengerusi Persatuan Wartawan Hong Kong dan editor untuk media dalam talian bebas yang didanai orang awam, Stand News.
“Saya sudah bersedia dari segi mental,” katanya kepada AFP. “Tetapi… apabila mereka tunjuk waran geledah, saya menggeletar.”
Chan menggunakan telefonnya untuk menstrim langsung interaksinya dengan pegawai sehingga mereka mengarahkannya berhenti. Ia adalah laporan terakhir Stand News.
Media itu ditutup lewat hari itu, selepas pihak berkuasa membekukan aset syarikat menggunakan undang-undang keselamatan negara dan menahan tujuh kakitangannya kerana menerbitkan kandungan “menghasut”.
Dua daripada pekerja itu telah didakwa dan direman. Chan tidak tahu sama ada beliau akan mengikut jejak langkah mereka.
“Adakah kita seterusnya?” adalah sesuatu yang ditanya oleh saluran berita tempatan di bandar yang pernah menjadi benteng kebebasan media serantau.
“Wartawan sepatutnya bercakap benar kepada kuasa,” kata Lokman Tsui, bekas pensyarah kewartawanan di Universiti China Hong Kong dan kini di Belanda, kepada AFP.
“Dan sekarang, kebenaran sudah menjadi perkara subversif di Hong Kong.” – AFP, 14 Januari, 2022.
Komen