India, Britain lancar rundingan dagangan


Menteri Perdagangan India Piyush Goyal dalam kenyataan berkata rundingan akan datang dijadual berlangsung setiap lima minggu. – Gambar AFP, 14 Januari, 2022.

INDIA dan Britain pada Khamis melancarkan rundingan rasmi terhadap perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang bertujuan mengembangkan hubungan dua hala antara dua negara.

Pengumuman itu dibuat di ibu negara oleh Menteri Perdagangan India Piyush Goyal dan Setiausaha Perdagangan Britain Anne-Marie Trevelyan.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa rundingan pertama bermula pada 17 Januari, dan rundingan akan datang dijadual berlangsung setiap lima minggu,” kata Kementerian Perdagangan India dalam satu kenyataan.

Kedua-dua negara menyasarkan untuk menggandakan perdagangan dua hala mereka menjelang 2030.

Jumlah dagangan dua hala bernilai sekitar AS$13 bilion (RM54.3 bilion) pada tahun kewangan 2020-2021, dengan India menikmati imbangan dagangan sebanyak AS$3.2 bilion, menurut data India.

Perdagangan perkhidmatan pula bernilai AS$12 bilion bagi tahun yang sama.

“Perjanjian itu mempunyai potensi hampir menggandakan eksport UK ke India, meningkatkan jumlah dagangan sebanyak £28 bilion (kira-kira RM160 bilion) setahun menjelang 2035, dan meningkatkan pendapatan sehingga £3 bilion di seluruh UK.

Pelaburan syarikat India telah menyediakan 95,000 peluang pekerjaan di seluruh UK,” kata Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK.

UK mahukan halangan dikurangkan supaya pihaknya dapat menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan ekonomi India bernilai AS$2.7 trilion dan pasaran 1.4 bilion pengguna.

“Perjanjian dengan India akan menjadi langkah besar buat UK mengatur strategi memfokus semula perdagangan di Indo-Pasifik, yang populasinya merangkumi separuh daripada penduduk dunia serta 50 peratus pertumbuhan ekonomi global,” katanya. – Bernama, 14 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen