Saya cuma tolong orang sakit, kata lelaki terlepas hukuman gantung


Alfian Z.M. Tahir

Muhammad Lukman Mohamad menegaskan beliau menjual minyak ganja hanya untuk tujuan perubatan bagi membantu orang sakit. – 16 Januari, 2022.

MUHAMMAD Lukman Mohamad hanya berserah kepada Allah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2018 menjatuhkan hukuman mati ke atasnya atas tiga kesalahan mengedar dadah.

Dalam pembelaannya, Lukman menegaskan beliau hanya memproses dan menjual minyak ganja untuk tujuan perubatan.

Selepas lima tahun di penjara, Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun lalu membebaskan beliau selepas membenarkan rayuannya untuk mengenepikan sabitannya atas dua tuduhan mengedar dadah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum itu menggantikan tuduhan ke atas Lukman kepada memiliki dadah di bawah Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya (DDA).

Seksyen 9 DDA memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan/ atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan berat dan isipadu dadah seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan kerana ahli kimia tidak menjalankan analisis kuantitatif dadah berkenaan.

Lukman, yang ketika itu berusi 31 tahun, dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan serentak dari tarikh penangkapannya iaitu 7 Disember 2015. 

Beliau dibebaskan pada 17 Februari tahun lalu dan kini tinggal bersama keluarganya di Terengganu. Lukman menegaskan beliau menjual minyak ganja hanya untuk tujuan perubatan bagi membantu orang sakit.

Ketika ditemu bual The Malaysian Insight, Lukman berkata sepanjang perbicaraan berjalan gerak hatinya berkata beliau pasti akan dibebaskan.

“Dalam hati saya berulang kali berkata tak mungkin saya akan dihukum gantung hanya sebab ganja. Takkanlah kerana ganja mahkamah hendak hukum gantung.

“Bagaimanapun, apabila Mahkamah Tinggi dapati saya bersalah, saya hanya berserah kepada Allah jika sudah ketentuan takdir,” katanya.

Tambahnya, beliau berterima kasih kepada peguam muda, Farhan Maarof, yang menasihatkannya supaya jangan cepat mengalah.

“Farhan tidak putus asa membela saya sejak mula.”

Semasa kesnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan, Lukman diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

“Pengalaman luas Hisyam banyak membantu kes saya. Ada ramai lagi peguam yang membantu saya, dan saya amat berterima kasih kepada mereka,“ujarnya.

Lukman kini menjalankan perniagaan menjual ikan dan ayam secara kecil-kecilan di Besut.

Membantu orang sakit

Lukman memberitahu The Malaysian Insight niatnya hanya untuk merawat orang yang sakit.

Polis sendiri katanya, terkejut melihat beliau menjalani kehidupan biasa ketika menyerbu rumahnya di Banting, Selangor.

“Mulanya, saya dan beberapa kawan membuat eksperimen selepas kami mendapat tahu tentang manfaat ganja. Jadi, dari situ kami buat penyelidikan sendiri dan hasilkan minyak ganja, kami proses sendiri.

“Kemudian, sepupu kepada salah seorang kawan menderita hipotiroidisme, dan kami hasilkan minyak untuknya. Pada masa itu saya pun tak pasti sama ada beliau akan sembuh .

“Tetapi mengejutkan, selepas beberapa bulan, doktor yang merawatnya mengesahkan beliau bebas daripada hipotiroidisme. Malah pihak hospital juga keluarkan laporan menyatakan beliau sudah bebas daripada penyakit itu.

“Saya sangat gembira dan terus bersemangat untuk membantu lebih ramai orang. Ketika itu kami hanya menggunakan Facebook untuk promosikan tentang manfaat ganja. Selain itu kami juga membaca laporan kajian universiti luar negara tentang ganja.

“Maklum balas dari mereka yang menggunakan minyak ganja saya semuanya memberangsangkan sehinggalah saya ditahan polis pada 2015,” ujar Lukman. – 16 Januari, 2022. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen