PAS tarik balik pelantikan Khairuddin


Diyana Ibrahim

Khairuddin Aman Razali sebelum ini dikaitkan dengan satu rakaman audio mengandungi ucapan yang mengkritik kepemimpinan Abdul Hadi Awang selaku presiden parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2022.

PAS menarik balik pelantikan Khairuddin Aman Razali dalam jawatankuasa pusat parti yang dibuat selepas pemilihan dalam muktamar November, dedah sumber dalam parti.

Sumber menjelaskan kepada The Malaysian Insight, tindakan tersebut bagaimanapun bukan satu bentuk pelucutan jawatan.

“Memang benar tapi bukan dipecat tapi ditarik semula pelantikannya,” kata sumber enggan mendedahkan secara terperinci tarikh bila dan alasan penarikan semula pelantikan itu.

The Malaysian Insight difahamkan keputusan itu dibuat jawatankuasa pengurusan PAS pada Rabu, dua hari selepas Khairuddin difahamkan mengadakan satu perbincangan tertutup bersama pemimpin parti yang diketahui cenderung kepada kerjasama dengan Umno.

Perbincangan tertutup tersebut difahamkan berkait usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

The Malaysian Insight sedang mendapatkan pengesahan lanjut dari pemimpin parti lain berkaitan tindakan ke atas bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu.

Khairuddin dilantik ke jawatankuasa itu bersama dua lagi, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Mohd Zuhdi Marzuki pada November lalu selepas tewas dalam pemilihan sewaktu muktamar.

Khairuddin sebelum ini dikaitkan dengan satu rakaman audio mengandungi ucapan yang mengkritik kepemimpinan Hadi selaku presiden parti.

Ucapan itu antara lain membangkitkan kebimbangan mengenai pendirian Hadi dalam isu rundingan kerusi dengan Umno dan Bersatu.

The Malaysian Insight diberitahu rakaman suara yang tular itu antara faktor penolakan perwakilan PAS di kawasan kepada pemimpin parti yang dikaitkan dengan Khairuddin.

Khairuddin juga penyandang setiausaha Majlis Syura Ulama PAS. Pemilihan untuk jawatan dalam Dewan itu ditangguhkan sehingga Disember.– 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen