SETIAUSAHA Negara AS Antony Blinken berkata Korea Utara mungkin mahukan perhatian dengan pelancaran peluru berpandunya, yang mana menurut beliau ia boleh menjejaskan kestabilan.
Diplomat tertinggi AS itu mengulangi gesaan agar Korea Utara duduk berbincang dengan Amerika Syarikat, yang menurutnya tidak mempunyai “niat bermusuhan” terhadap rejim Kim Jong Un.
“Saya fikir ini hanya cubaan Korea Utara yang mahu mendapatkan perhatian. Ia pernah dilakukan sebelum ini dan ia mungkin akan terus dilakukan,” kata Blinken dalam wawancara televisyen dengan MSNBC.
Ujian Korea Utara “sangat tidak stabil, ia berbahaya, dan ia bercanggah dengan pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB,” kata Blinken.
Media Korea Utara pada Rabu melaporkan Kim secara peribadi menyelia kejayaan pelancaran peluru berpandu hipersonik, pelancaran kedua oleh negara bersenjata nuklear itu dalam masa kurang seminggu.
Washington kemudiannya mengumumkan sekatan ke atas lima warga Korea Utara yang dikaitkan dengan program peluru berpandu balistik, menyebabkan tuduhan daripada jurucakap kementerian luar di Pyongyang bahawa ia “sengaja mencetuskan situasi tegang”.
“Jika AS mengamalkan sikap konfrontasi sedemikian, DPRK akan dipaksa untuk mengambil reaksi yang lebih kuat dan pasti terhadapnya,” kata jurucakap itu dalam ulasan yang disiarkan oleh agensi berita negara KCNA awal Jumaat di Korea Utara.– AFP, 14 Januari, 2022.
Komen