India tuntut pembebasan anak kapal ditahan Houthi


Wakil India ke PBB T. S. Tirumurti berkata rampasan kapal Rawabi di luar perairan Hudaydah memburukkan lagi konflik Yaman. – Gambar AFP, 13 Januari, 2022.

INDIA menuntut pembebasan segera tujuh anak kapal warganya yang berada di atas kapal kargo membawa bendera Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dirampas puak Houthi baru-baru ini.

Wakil tetap India ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) T.S. Tirumurti berkata, dalam satu kenyataan pada Rabu bahawa rampasan terhadap kapal “Rawabi” di luar perairan Hudaydah memburukkan lagi konflik Yaman dan mengancam keselamatan maritim di rantau itu.

“Anak kapal termasuk tujuh warga India berada di atas kapal itu dan kami amat bimbang akan keselamatan dan keadaan mereka. Kami menggesa Houthi segera membebaskan anak kapal dan kapal itu,” katanya.

Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA) India sebelum ini berkata pihaknya telah menghubungi syarikat yang mengendalikan kapal Emiriah itu.

Kapal yang dikendalikan 11 anak kapal itu telah dirampas pada 2 Januari ketika belayar dari pulau Socotra Yaman ke pelabuhan Jizan di Arab Saudi.

Empat anak kapal yang lain dilaporkan dari Ethiopia, Indonesia, Filipina dan Myanmar. – Bernama, 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen