Anwar gesa polis henti ganggu pembangkang


Ravin Palanisamy

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani supaya berhenti menganggu pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

SIASATAN polis terhadap pemimpin sayap Pemuda PKR (AMK) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana mengadakan perhimpunan menentang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki adalah tidak wajar, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Anwar turut mempersoalkan rasional siasatan terhadap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berhubung hantaran media sosial yang dikongsi lima tahun lalu.

“Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik turut dipanggil polis berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum kepada pihak SPRM.

“Langkah ini ternyata suatu bentuk intimidasi dan tekanan oleh pihak berkuasa terhadap pimpinan pembangkang dalam menyikapi gejala rasuah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson menggesa Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani supaya berhenti menganggu pembangkang.

Pada Isnin Pemuda PKR menyerahkan memorandum menggesa ketua SPRM itu berundur dan meminta siasatan bebas dijalankan.

Pagi ini Maszlee mengesahkan beliau dipanggil untuk disoal siasat oleh polis juga berhubung penyerahan memorandum.

Bekas menteri pendidikan itu berkata beliau akan hadir di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pada 10 pagi esok.

Sementara itu Teo semalam berkata polis menghubunginya pada 8 Januari dan berkata mereka sedang menyiasatnya berhubung hantaran yang dikongsinya di Facebook lima tahun lalu. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen