Umno cuma tolong rakyat keluar wang KWSP, kata Zahid


Ragananthini Vethasalam

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini membidas pihak yang menuduh partinya cuba meraih kepentingan politik berikutan gesaan Umno itu supaya Putrajaya membenarkan pengeluaran KWSP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini membidas pihak yang menuduh parti itu cuba meraih populariti politik kerana bertegas meminta kerajaan benarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata pengkritik telah menuduh parti itu mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat untuk kepentingan politik.

“Permintaan (oleh Umno) itu dituduh oleh seorang menteri kanan sebagai menghasut, manakala pemimpin pembangkang menuduh Umno mahu menghancurkan KWSP,” kata Zahid dalam satu hantaran di Facebook.

“Fahamilah permintaan itu bukan permintaan politik Umno, tetapi semata-mata berlandaskan permohonan dan keperluan semasa rakyat.

“Sila baca komen rakyat Malaysia di media sosial berhubung perkara itu,” katanya menambah bercakap bagi pihak rakyat boleh diibaratkan seperti politik.

Beliau berkata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki telah menjelaskan rasional di sebalik gesaan Umno untuk keluarkan wang simpanan beberapa kali.

Zahid berkata tidak benar Umno cuba ambil kesempatan, menambah menteri yang beri kelulusan juga yang akan mengaut pujian.

Tanpa menyebut nama, Zahid berkata menteri berkaitan juga boleh dikaitkan dengan motif politik seperti yang banyak pihak andaikan.

Zahid berkata walaupun Umno telah menyampaikan kehendak rakyat, keputusan sebenar tetap di tangan kerajaan.

Beliau berkata parti itu cuba sedaya upaya membantu rakyat.

“Namun yang pasti keadaan adalah lebih mudah jika Umno masih menjadi teras kerajaan. 

“Justeru jadikan segala yang disaksikan sebagai pedoman masa depan,” katanya.

Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak antara pemimpin Umno yang mendesak satu lagi pusingan pengeluaran KWSP.

Putrajaya telah meluluskan tiga skim pengeluaran KWSP - i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra sejak perintah kawalan pergerakan pertama diumumkan pada 2020. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen