LEBIH 2,000 tentera diketuai Rusia mula berundur dari Kazakhstan, kata Moscow pada Khamis, selepas dikerahkan ke negara itu berikutan protes kenaikan harga tenaga bertukar ganas meragut berpuluh-puluh nyawa.
Keputusan menghantar pasukan pengaman adalah yang pertama bagi Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) yang diketuai Moscow.
CSTO sering disebut-sebut oleh Rusia sebagai setara dengan Nato namun sebelum ini enggan campur tangan dalam pergolakan di Asia Tengah, rantau yang mempunyai hubungan sejarah panjang dengan Rusia.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata “pasukan pengaman kolektif… mula menyediakan peralatan dan bahan untuk dimuatkan ke dalam pesawat penerbangan pengangkutan tentera angkatan aeroangkasa Rusia dan kembali ke tempat penempatan tetap.”
Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev berkata pertempuran itu sebagai cubaan rampasan kuasa yang dibantu oleh pengganas tempatan dan antarabangsa.
Presiden Rusia Vladimir Putin membayangkan keganasan itu mengingatkan “revolusi warna” yang dicetuskan oleh campur tangan asing.
Tokayev berkata pengunduran tentera asing secara berperingkat akan mengambil masa tidak lebih daripada 10 hari.
Kebimbangan meningkat yang Moscow akan mempergunakan misi itu untuk meningkatkan pengaruhnya di Kazakhstan.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken sebelum ini memberi amaran “apabila orang Rusia berada di rumah anda, kadang-kadang sangat sukar untuk minta mereka keluar”.
Walaupun pihak berkuasa menyifatkan keganasan itu sebagai kerja “pengganas” asing, ia tercetus di sebalik demonstrasi aman mengenai kenaikan harga bahan api dan dengan latar belakang kemerosotan taraf hidup dan rasuah endemik. – AFP, 13 Januari, 2022.
Komen