Azam perlu tarik semula saman fitnah terhadap wartawan, kata kumpulan media


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki perlu segera menarik semula saman fitnahnya terhadap wartawan Lalitha Kunaratnam, kata kumpulan media Center for Independent Journalism (CIJ). – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2021.

KETUA Pesuruhjaya SPRM Azam Baki perlu segera menarik semula saman fitnahnya terhadap wartawan Lalitha Kunaratnam kerana mendedahkan pemilikan sahamnya dalam syarikat awam, kata kumpulan media Center for Independent Journalism (CIJ).

Pengarah Eksekutif Wathshlah Naidu menambah Azam juga harus berhenti menganggu Lalitha.

“Langkah Azam ini dilihat sebagai satu bentuk ugutan dan tindakan balas terhadap seorang wartawan yang dengan niat baik memberikan bukti serta artikel berita berasaskan penyelidikan mengenai perkara yang mempunyai kepentingan awam.

“Saman fitnah ini mempersoalkan lagi peranan Azam sebagai pegawai awam yang atas kapasiti profesionalnya sendiri harus berusaha ke arah penghapusan rasuah di negara ini dan menegakkan hak media untuk melaporkan berita berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Azam memfailkan saman fitnah terhadap Lalitha semalam, menuntut ganti rugi RM10 juta dan permohonan maaf secara terbuka atas artikelnya.

Lalitha mendedahkan dalam dua artikel bahawa Azam memperoleh 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Berhad pada 2015 semasa beliau menjadi pengarah penyiasat dan 1.93 juta saham dalam Gets Global Berhad pada tahun sama serta 1.02 juta saham dalam Gets Global pada tahun berikutnya yang mana beliau mungkin tidak mengisytiharkannya.

Azam menafikan sebarang salah laku dengan mengatakan saham itu dibeli oleh abangnya menggunakan akaunnya. Majlis penasihat SPRM juga sudah membersihkannya daripada salah laku.

Wathshlah juga berkata kerajaan juga mesti menjamin persekitaran yang selamat dan membolehkan media menyemak serta meminda undang-undang fitnah.

Beliau berkata undang-undang fitnah ini sering digunakan sebagai tindak balas dan gangguan terhadap laporan media yang mengkritik institusi awam atau individu yang memegang jawatan awam.

Selain itu Wathshlah berkata Akta Pemberi Maklumat 2010 mesti dikaji semula dan skop perlindungannya diperluas dan diperkukuh tanpa penangguhan lagi.

Tambahnya kerajaan juga perlu menyiasat dakwaan terhadap Azam dan menjaga integriti SPRM dan negeri. – Bernama, 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen