Kit Siang persoal tindakan polis siasat catatan Facebook ahli Parlimen Kulai 


Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan tindakan polis menyiasat catatan Facebook lima tahun lalu oleh Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

VETERAN DAP Lim Kit Siang hari ini menegur polis kerana menyiasat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berhubung siaran media sosial yang dikongsinya pada April 2017.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Ketua Polis Negara Acryl Sani perlu menjelaskan mengapa polis menyiasat Teo berhubung siaran media sosial berusia lima tahun.

“Adakah ini mencerminkan ketidakcekapan polis atau salah guna kuasa di bawah kerajaan (perdana menteri) Ismail Sabri Yaakob?” katanya dalam satu kenyataan.

Lim merujuk kepada catatan media sosial oleh aktivis Fahmi Reza dan dikongsi oleh Teo di Facebook rasminya bersama dengan kapsyen “pertahankan kebebasan berekspresi, kebebasan bersatira”.

“Bukankah polis mempunyai perkara yang lebih baik untuk dilakukan?

“Saya menyokong sepenuhnya kenyataan Centre for Independent Journalism (CIJ) bahawa pihak berkuasa tidak boleh digunakan untuk mengganggu pihak lawan.

“Polis harus menumpukan perhatian kepada memerangi jenayah dan bukan menjadi alat politik untuk menakut-nakutkan atau mengganggu orang ramai, terutamanya ahli Parlimen, untuk menyuarakan pendapat mereka.”

Semalam, Teo berkata beliau dihubungi pihak polis pada 8 Januari dan menyatakan mereka sedang menyiasat satu catatan yang dikongsinya di Facebook.

“Mereka (polis) menyiasat perkara ini mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Saya telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan kenyataan saya direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah di ibu pejabat DAP. Saya ditemani peguam saya Syahredzan Johan,” tulisnya di Facebook.

Teo berkata bahawa beliau tetap dengan apa yang ditulisnya, iaitu mempertahankan hak bersuara yang dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sumber polis harus digunakan untuk memerangi jenayah sebenar yang melibatkan mangsa sebenar dan bukan menjadi alat untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada meluahkan pendapat mereka.

“Tindakan mengkritik kerajaan atau institusi pentadbiran tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah.” – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen