Kit Siang gesa jawatankuasa pilihan siasat dakwaan manipulasi data Covid-19


Lim Kit Siang berkata dakwaan mengenai integriti data Covid-19 dan ia dimanipulasi tidak boleh dibiarkan tanpa penyelesaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi mesti menyiasat dakwaan dibuat oleh Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing yang data kes baharu Covid-19 dan kematian harian dimanipulasi oleh “tangan ghaib”, kata Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata memandangkan ada sidang Parlimen khas pada Khamis depan, jawatankuasa itu perlu bermesyuarat segera dalam beberapa hari akan datang dan menyerahkan laporannya kepada Parlimen pada sidang khas itu.

Lim dalam satu kenyataan berkata dakwaan Tiong mengenai integriti data dan ia dimanipulasi tidak boleh dibiarkan tanpa penyelesaian.

Beliau berkata ia mesti disiasat segera “supaya kebenaran dapat diketahui”.

“Rakyat Malaysia mesti tahu sama ada terdapat sebarang asas dalam dakwaan Tiong mengenai manipulasi oleh tangan ghaib berhubung data kes baharu harian Covid-19 dan angka kematian harian, dan jika ya, semua fakta sebenar kes itu.”

Beliau berkata Tiong, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah perlu dipanggil oleh jawatankuasa itu untuk memberi keterangan.

Tiong, yang merupakan presiden Parti Demokratik Progresif, sebuah parti komponen dalam gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak, semalam mengecam Khairy dan Noor Hisham mengenai pengendalian mereka terhadap wabak Covid-19 selama dua tahun.

Lim berkata kini tanggungjawab kedua-duanya adalah untuk mempertahankan diri terhadap dakwaan itu. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen