Nigeria tarik balik sekatan operasi Twitter


Nigeria menghentikan operasi Twitter pada Jun selepas syarikat itu memadam komen Presiden Muhammadu Buhari, mencetuskan bantahan antarabangsa terhadap kebebasan bersuara. – Gambar EPA, 13 Januari, 2022.

NIGERIA pada Rabu berkata ia menamatkan penggantungan Twitter, tujuh bulan selepas pengharaman gergasi media sosial itu dalam pertikaian mengenai tweet oleh Presiden Muhammadu Buhari.

Nigeria menghentikan operasi Twitter pada Jun selepas syarikat itu memadam komen Buhari, mencetuskan bantahan antarabangsa terhadap kebebasan bersuara.

Kerajaan dan Twitter berunding bagi memulihkan perkhidmatan itu berdasarkan satu set syarat, termasuk operasi pendaftaran Twitter di Nigeria.

“Kerajaan Persekutuan Nigeria mengarahkan saya untuk memaklumkan kepada orang ramai yang Presiden Muhammadu Buhari… meluluskan penarikan balik penggantungan operasi Twitter di Nigeria berkuat kuasa mulai 12 pagi ini,” kata satu kenyataan daripada agensi pembangunan teknologi maklumat negara itu.

Pegawai Nigeria berkata Twitter bersetuju dengan tuntutan untuk beroperasi di negara itu.

Twitter belum memberi respons bagi permintaan untuk sebarang ulasan.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Kanada adalah antara mereka yang menyertai kumpulan hak asasi manusia dalam mengecam larangan itu sebagai merosakkan kebebasan bersuara di negara paling ramai penduduk di Afrika itu.

Twitter mempunyai peranan besar dalam wacana politik di Nigeria, dengan hashtag #BringBackOurGirls selepas Boko Haram menculik hampir 300 pelajar sekolah pada 2014, dan #EndSARS semasa protes keganasan antipolis pada 2020. – AFP, 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen