JUALAN tiket syarikat penerbangan jatuh mendadak pada penghujung 2021, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada Rabu, menyalahkan kerajaan kerana “bertindak berlebihan” terhadap varian Omicron Covid-19 dengan menutup sempadan.
IATA, yang mepunyai lebih 290 syarikat penerbangan sebagai ahli berkata perjalanan udara antarabangsa perlahan-lahan tetapi beransur pulih selepas kesan penutupan besar-besaran pada 2020 dan awal 2021 sebelum varian Omicron yang merebak pantas ditemui pada akhir November.
Jualan tiket pada November adalah 60.5% di bawah paras pra-pandemik November 2019, merupakan peningkatan selepas penurunan sebanyak 64.8% yang dicatatkan sebulan sebelumnya.
“Malangnya, kerajaan bertindak balas secara berlebihan terhadap kemunculan varian Omicron pada penghujung bulan dan menggunakan kaedah penutupan sempadan yang gagal, ujian saringan berlebihan terhadap pengembara dan kuarantin untuk memperlahankan penyebaran,” kata Presiden IATA Willie Walsh.
“Tidak menghairankan, jualan tiket antarabangsa yang dibuat pada Disember dan awal Januari jatuh mendadak berbanding 2019, menunjukkan suku pertama lebih sukar daripada yang dijangkakan,” tambahnya.
Ahli IATA menyumbang 83% daripada trafik udara global.
Pada Oktober, pertubuhan itu meramalkan kerugian kumulatif industri sebanyak AS$11.6 bilion pada 2022, turun daripada anggaran AS$51.8 bilion pada 2021 dan AS$137.7 bilion pada 2020.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa berkata secara berasingan pada Rabu yang data awal menunjukkan bilangan penumpang udara menurun sebanyak 49% tahun lepas daripada tahap sebelum pandemik pada 2019.
Ia adalah peningkatan daripada penurunan 60% pada 2020.
ICAO, sebuah badan PBB, berkata syarikat penerbangan kehilangan pendapatan AS$324 bilion tahun lalu disebabkan kejatuhan trafik, yang kehilangan hasil kurang daripada AS$372 bilion pada 2020.
Ia meramalkan peningkatan pada 2022 kepada penurunan penumpang antara 26 hingga 31%, dan kehilangan hasil antara AS$186 hingga AS$217 bilion, dengan segmen antarabangsa akan terus terjejas paling teruk.
IATA berkata ia menjangkakan syarikat penerbangan AS memperoleh keuntungan semula tahun ini tetapi syarikat penerbangan Eropah, yang mengendalikan lebih banyak penerbangan jarak jauh dan lebih terdedah kepada penutupan sempadan, akan terus mengalami kerugian. – AFP, 13 Januari, 2022.
Komen