Pasaran sewaan hartanah ambil masa untuk pulih, kata pakar


Khoo Gek San

Kesan pandemik selama dua tahun terhadap penyewaan harta kediaman masih dirasai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

WALAUPUN ekonomi menunjukkan tanda pemulihan selepas serangan Covid-19, perkara yang sama tidak boleh dianggap berlaku kepada pasaran sewaan hartanah, kata pakar industri.

Kesan pandemik selama dua tahun terhadap penyewaan harta kediaman masih dirasai, kata Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng.

Bagaimanapun, Chan dan ejen hartanah sepertinya optimis pasaran tahun ini akan stabil.

Namun, mereka tidak menjangkakan harga sewa akan naik dalam masa terdekat. Pemberhentian kerja, pengurangan tempoh bekerja dan ketidaktentuan yang dihadapi oleh majikan menjejaskan pendapatan orang ramai.

Chan berkata ini seterusnya turut menjejaskan pemilik atau tuan tanah.

“Dengan semua orang menghadapi tekanan ekonomi, amat sukar bagi tuan tanah untuk menyewakan hartanah mereka pada kadar premium,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Walaupun begitu, Chan menegaskan kadar sewa jatuh tetapi tidak terlalu banyak dalam tempoh dua tahun yang lalu, kerana tuan rumah yang turut bimbang dalam beberapa kes bertindak mengecualikan sewa untuk mengekalkan penyewa mereka.

“Tuan rumah menerima pakai dasar yang penyewa mereka akan kekal jika mereka menunjukkan empati,” kata Chan.

“Ketika tuan rumah bertahan, terdapat petanda pasaran menunjukkan ia naik dari bawah.”

Beliau berkata pada separuh kedua tahun lepas, banyak rumah baharu dibeli dibina sebaik sahaja ia siap.

“Permintaan masih meningkat tetapi sewa tidak,” tambahnya, menggunakan contoh hartanah RM1 juta masih berharga RM2,600 sebulan, sama seperti dua tahun lalu.

Beliau berkata dalam beberapa kes, kadar sewa lebih rendah, serendah RM2,000 sebulan, kerana tuan tanah memberi “diskaun” untuk bertahan kepada penyewa mereka.

Di Pulau Pinang, pemulihan mungkin lebih perlahan dengan kekurangan penduduk ekspatriat pada masa ini, kata ejen hartanah berdaftar Christina Choong daripada IQI Realty Sdn Bhd.

Choong berkata pemilik hartanah mewah dan pangsapuri mewah akan terus menghadapi kesukaran mencari penyewa dengan sekatan sempadan berikutan penyebaran varian Omicron.

“Kebanyakan penyewa untuk pangsapuri mewah ini warga asing dan mereka tidak boleh pulang dengan semua sekatan.”

Choong berkata sebelum wabak, sewa pangsapuri mewah sekitar antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan.

Ia jatuh sebanyak 10% hingga 20% semasa wabak dan unit akan kekal kosong untuk beberapa waktu.

Beliau berkata sewaan di kawasan warisan pulau itu, yang jatuh pada 2020 tanpa kedatangan pelancong, merosot pada separuh pertama tahun lalu.

Sebaliknya, beliau berkata hartanah dengan sewa antara RM1,500 hingga RM2,500 paling dicari sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau meramalkan landskap pasaran sewa pulau itu sedikit sebanyak akan berubah pada beberapa tahun akan datang kerana ramai memutuskan untuk membeli hartanah, dengan banyak kini bank menawarkan kadar faedah rendah bagi pinjaman dan pemaju menawarkan harga yang menarik kepada pembeli. 

Pertumbuhan harga rumah turun

Keadaan yang sama turut berlaku di pantai timur Semenanjung.

Principal Legacy Real Property Sdn Bhd (Pantai Timur) Mohd Azlan Abdul Kadir berkata sewaan pada kemuncak pandemik jatuh antara 10% hingga 15%, manakala pajakan komersial turun antara 15% hingga 20%.

Situasi pandemik yang kelihatan terkawal, sekatan pergerakan berakhir dan ekonomi menunjukkan tanda pemulihan, Azlan berkata perniagaan kembali pulih dalam beberapa bidang, memberikan pandangan positif kepada sektor hartanah.

Beliau optimis kadar sewaan boleh kembali ke tahap sebelum pandemik.

Azlan berkata di Kelantan, kini terdapat permintaan untuk rumah satu dan dua tingkat daripada individu yang ditempatkan untuk bekerja di negeri itu.

Azlan berkata purata sewaan rumah setingkat adalah antara RM400 hingga RM500 sebulan, manakala antara RM500 hingga RM700 untuk rumah dua tingkat.

“Kami berharap kerajaan dapat mengawal penyebaran varian Omicron dengan berkesan dan jika ia berlaku, maka prospek pasaran hartanah adalah cerah.

“Sewaan untuk hartanah komersial juga mula meningkat,” katanya.

Menurut Pusat Maklumat Hartanah Negara Malaysia (Napic), pada separuh pertama 2021, pertumbuhan harga rumah di negara ini perlahan daripada 2018, ditambah pula dengan penurunan harga rumah di wilayah utama, yang seterusnya mengheret penurunan harga rumah di seluruh negara. – 13 Januari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen