Pejuanita Muda bersedia hadapi PRU15


Ragananthini Vethasalam

PEJUANITA Muda, sayap pemuda wanita Pejuang bersedia untuk meletakkan calon wanita muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata ketuanya Dr Nurul Ashikin Mabahwi.

“Kami akan memastikan Pejuang meletakkan calon wanita mudanya,” katanya kepada The Malaysian Insight sambil menambah kuota yang besar diperuntukkan untuk bahagian itu.

Nurul berkata keistimewaan Pejuangnita Muda ialah kelebihan dari segi kepelbagaian ahlinya, terutama daripada status sosial dan latar belakang pendidikan, selain terdiri daripada suri rumah, golongan profesional dan pelajar. 

“Saya rasa apa yang kita ada dalam Pejuanita Muda adalah sesuatu yang unik berbanding sayap belia wanita dalam parti lain,” katanya.

Nurul berkata sebagai bekas ahli Puteri Umno beliau mengetahui gerak kerja sayap pemuda wanita dan melakukan penyelidikan berkaitan untuk menentukan kelemahan.

Beliau menambah ramai ahli Pejuanita Muda adalah wanita yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik.

“Berbanding lelaki penglibatan wanita (dalam politik) terutama wanita muda yang sudah berkeluarga adalah kurang. Mereka mempunyai tempat di Pejuanita Muda sehingga kami sanggup menyediakan pengasuh.

“Ini akan membolehkan suri rumah dan wanita muda menyertai PRU15,” katanya.

Pejuanita Muda kini mempunyai lebih 5,000 ahli.

Mengenai usaha pengambilan mereka Nurul berkata beliau sudah memanfaatkan platform media sosial seperti Tik Tok untuk menarik lebih ramai ahli dan aktiviti.

“Semasa kami menjalankan misi banjir beberapa sukarelawan kami bukan ahli Pejuanita Muda tetapi mereka menyertai kami selepas program itu,” katanya.

Mengenai persaingan dengan parti Muda yang didorong oleh belia beliau berkata pertandingan itu agak sihat.

Ketua Pejuanita Muda Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata parti itu akan memastikan meletakkan calon wanita muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2022.

Apa yang belia mahukan?

Nurul berkata cabaran kepada Pejuang dan parti politik lain terletak pada penentuan proses pemikiran belia kerana Undi 18 kini sudah menjadi kenyataan.

“Tiada kajian sedia ada mengenai corak pemikiran mereka yang berusia antara 18 dan 21 tahun yang akan membuang undi buat kali pertama.

“Kita tidak boleh simpulkan apa yang mereka mahu dan apakah kecenderungan politik mereka,” katanya.

Bagaimanapun berdasarkan kajian asas yang dilakukan Nurul berkata mereka yang berusia antara 17 dan 19 tahun tidak pasti siapa yang akan mereka undi.

“Ramai dalam kalangan mereka tidak tahu barisan ahli politik semasa dan kalau tahu pun hanya mereka yang popular di media sosial,” katanya.

Beliau berkata Undi 18 membantu ahli politik kanan memahami kepentingan pemimpin belia.

“Dengan menganaktirikan ahli politik muda mereka akan kalah kerana Undi 18,” katanya.

Beliau berkata apa yang diperlukan oleh belia ialah ahli politik yang boleh mencari penyelesaian bagi isu penting.

Jumlah pengundi di Malaysia meningkat sebanyak 5.61 juta kepada 20.6 juta berikutan pelaksanaan Undi 18.

Mengenai sama ada rakyat Malaysia akan mendapat perdana menteri wanita dalam masa terdekat beliau berkata ini hanya akan berlaku jika seorang wanita mengetuai gabungan parti politik.

Beliau bagaimanapun berkata ini tidak mungkin menjadi kenyataan pada PRU15. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen