Keghairahan terhadap politik dorong pemimpin belia lepas peluang kerja di Jepun


Ragananthini Vethasalam

KEGHAIRAHAN terhadap politik mendorong Dr Nurul Ashikin Mabahwi kembali ke Malaysia melepaskan dua tawaran untuk bekerja sebagai penyelidik di Jepun.

Ketua Pejuanita Muda itu berkelulusan PhD dalam Sistem Persekitaran Serantau dari Institut Teknologi Shibaura di Jepun.

Pejuanita Muda adalah sayap pemuda wanita Pejuang yang diketuai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya sepatutnya bekerja. Ia adalah perjanjian dengan sensei (guru) bahawa saya akan menyertai sebagai penyelidik di makmal selepas tamat PhD.

“Pejuang ditubuhkan pada masa sama dan saya mendapat tawaran.

“Tetapi akhirnya saya memilih untuk memasuki Pejuang jadi saya terpaksa menolak tawaran itu dan kembali ke Malaysia,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 32 tahun itu berkata beliau diberi tawaran kedua untuk menyertai sebagai penyelidik.

“Dengan berat hati saya terpaksa menolak sekali lagi kerana pendaftaran Pejuang baru sahaja diluluskan dan bahagian itu baru ditubuhkan serta saya tidak boleh meninggalkan politik dan kembali ke Jepun,” katanya.

Nurul yang berkahwin dengan penduduk tetap Jepun mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun.

Beliau berkata keadaan negara mendorongnya untuk melepaskan potensi kerjaya di Jepun untuk pulang ke tanah air.

“Negara berada dalam keadaan teruk.

“Saya merasakan Malaysia memerlukan pemimpin yang bukan sahaja ahli politik.

“Saya merasakan kita berdepan kekurangan ahli politik yang pakar dalam bidang tertentu dan apabila mereka berkuasa mereka perlu bergantung kepada penasihat tanpa dapat menimbang kebaikan dan keburukan,” katanya.

Nurul berkata beliau merasakan Pejuang adalah platform terbaik untuk menyumbang kepada negara.

Mahir dalam pengurusan risiko bencana beliau berkata politik juga akan memberinya peluang untuk membuat perubahan melalui kepakarannya.

Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan juga mencetuskan kemarahan beliau dan mendorong beliau kembali ke negara untuk menyumbang.

Mengenai bagaimana Pejuanita Muda akan berdepan ahli politik wanita yang lebih berpengalaman atau terkenal Nurul berkata parti itu hanya akan meletakkan pemimpin yang mampu mentadbir.

Beliau menambah calon perlu menjalani beberapa siri temuduga sebelum berjaya dipilih. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen