IDEA Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mewujudkan sistem dua Kabinet bagi orang Islam dan bukan Islam tidak akan dapat menyatukan rakyat, sebaliknya ia hanya akan mengehadkan lagi suara masyarakat bukan Islam.
Penganalisis berpendapat, cadangan Hadi itu bukan sahaja tidak realistik dalam kemajmukan negara hari ini malah akan menyukarkan PAS untuk memperoleh undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Dalam keadaan masyarakat majmuk di negara kita ini tidak cocok dan sesuai dilaksanakan.
“Ia juga hanya boleh berlaku sekiranya PAS benar-benar memerintah, tetapi kalau PAS tidak berjaya membentuk kerajaan bersendiri memang tidak boleh dilaksanakan,” kata Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Hisommuddin Bakar kepada The Malaysian Insight.
Beliau bagaimanapun memuji Hadi kerana berani mengutarakan idea pentadbiran dua lapis seperti itu kerana ia membayangkan kesediaan parti itu untuk mentadbir negara.
“PAS ada kerangka dan asas untuk ketengahkan idea itu namun dalam keadaan menongkah arus, sukar untuk PAS mendapat tempat dan mandat dengan idea klasik Islam berkenaan,” katanya lagi.
Hadi hari ini berkata, setiap kaum akan diberi peranan tersendiri dalam pentadbiran PAS jika parti Islam itu berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
Katanya PAS bercita-cita untuk menubuhkan dua Kabinet berbeza dalam pentadbiran kerajaan.
“Sekiranya PAS memerintah, ia akan dibahagikan kepada dua – (satu) Kabinet yang memutuskan dasar nasional. Ia perlu terdiri dari orang yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional.
“Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka,” kata ahli Parlimen Marang itu ketika berucap dalam program dialog bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Kumpulan kedua pula adalah teknokrat sama ada dari Parlimen atau sektor swasta yang akan melaksanakan dasar kerajaan, katanya.
Sementara itu, Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, idea berkenaan harus dipraktikan Hadi di dalam negeri dikuasai PAS dan partinya sendiri.
“Menyuarakan idea pentadbiran dua lapis ini suatu perkara yang berani memandangkan ramai yang mungkin tidak akan faham atau boleh menerimanya secara serius.
“Ia menunjukkan bahawa PAS turut dapat membayangkan parti tersebut dapat mentadbir pada suatu masa depan,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
“Agak menarik sekiranya idea ini dapat direalisasikan di negeri bawah kawalan PAS sebelum ia digunapakai di peringkat nasional,” tambahnya.
Bagaimanapun Ibrahim berkata, rakyat juga belum bersedia dengan idea seperti itu.
“Saya rasa masyarakat belum bersedia untuk idea tersebut, bagus juga kalau PAS boleh mempraktikkannya di dalam struktur parti tersebut terdahulu agar dapat diperlihatkan oleh umum,” tambahnya.
Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Azizuddin Mohd Sani berkata, idea itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya Malaysia ditadbir seperti Brunei.
“Sistem ini pelik, tak faham apa yang Hadi cuba nak laksanakan, bukan Islam dalam Kabinet itu lumrah amalam di negara kita.
“Hadi perlu sedar semangat Perlembagaan, kita tidak boleh hanya laksanakan semangat Melayu dan Islam semata-mata,” katanya.
Pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ismail Sualman berpendapat idea itu hanya akan menambahkan lagi konflik kepentingan yang wujud dalam negara.
“Adakah Hadi mahu wujudkan sistem seperti mahkamah sivil dan mahkamah syariah, sedangkan isu melibatkan agama anak baru-baru ini pun tidak dapat diselesaikan.
“Mungkin beliau ada asas sendiri, tetapi ia tidak menyuburkan semangat perpaduan yang kerajaan seharusnya terapkan,” katanya.
“Mungkin beliau mahu kuatkan asas agama tetapi sistem itu tidak realistik untuk dilaksanakan di Malaysia,” tambahnya. – 4 Februari, 2018.
Komen