Pengembara pernah dijangkiti Covid-19, lengkap vaksin tak perlu kuarantin, kata KKM


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan bermula esok pengembara lengkap vaksinasi dan pernah dijangkiti Covid-19 tidak perlu kuarantin wajib, manakala pengembara yang belum vaksinasi perlu kuarantin wajib tujuh hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2022.

PENGEMBARA yang pernah dijangkiti Covid-19 dan lengkap vaksinasi akan dikecualikan daripada menjalani kuarantin wajib, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan berkata pengecualian itu hanya terpakai jika mereka telah melengkapkan vaksinasi dan telah dijangkiti dalam tempoh 11 hingga 60 hari sebelum masuk ke Malaysia.

“Pengembara hendaklah tunjukkan bukti telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 11 hari hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia, melalui keputusan ujian makmal yang dicetak atau secara digital,” kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Khairy, bagi pengembara yang belum menerima vaksinasi lengkap atau tidak divaksinasi, mereka akan dikenakan kuarantin wajib tujuh hari di stesen kuarantin.

“Mereka dikehendaki menjalani ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK Ag di hadapan petugas kesihatan Kerajaan atau swasta yang ditempatkan di Pintu Masuk Antarabangsa.

Peraturan baharu itu akan mula berkuat kuasa esok.

Keputusan baharu itu dibuat berdasarkan data saintifik dan bukti serta pengalaman dari negara lain berkaitan pengurusan pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19.

Khairy turut berkata pengembara yang mempunyai sejarah kemasukan ke hospital angkara Covid-19 perlu mengemukakan surat “fit to travel” daripada hospital.

“Bagi pengembara yang menjalani isolasi atau pengasingan di tempat kediaman termasuk hotel kerana dijangkiti Covid-19 dan tidak dimasukkan ke hospital, mereka perlu menjalani ujian saringan RTK Ag profesional dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.

“Hanya individu dengan keputusan negatif sahaja dibenarkan meneruskan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, prosedur kuarantin standard kekal sama bagi mereka yang tiada sejarah jangkitan atau yang telah dijangkiti melebihi tempoh ditetapkan.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan pengembara memuat turun dan mengisi deklarasi kesihatan dalam aplikasi MySejahtera, menjalani saringan status kesihatan dan ujian RTK Ag sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen