SRI LANKA menolak bailout Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Rabu, berkata ia merancang untuk mendapatkan pinjaman lain daripada China untuk tangani krisis ekonomi yang telah menyebabkan kekurangan makanan dan bahan api.
Pulau yang bergantung kepada pelancongan itu telah terjejas oleh pandemik, dengan pasar raya mencatu barangan dan bekalan elektrik berterusan dicatu kerana tidak dapat membiayai import minyak.
Agensi penarafan antarabangsa telah memberi amaran tentang hutang luar Sri Lanka berjumlah AS$35 bilion ketika kementerian kewangannya berhadapan masalah rizab pertukaran asing dan defisit bajet yang tinggi.
Namun gabenor bank pusat Ajith Nivard Cabraal menolak gesaan yang semakin meningkat daripada pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan jaminan daripada IMF dan penstrukturan semula hutang.
“IMF bukanlah tongkat ajaib,” katanya pada sidang media di Colombo. “Pada ketika ini, alternatif lain adalah lebih baik daripada pergi ke IMF.”
Tambah Cabraal perbincangan dengan China mengenai pinjaman baharu berada pada “peringkat lanjutan”, dan perjanjian baharu akan membayar hutang sedia ada kepada Beijing.
“Mereka akan tolong kami buat pembayaran balik… pinjaman baharu yang datang dari China adalah untuk menampung pembayaran balik hutang kami kepada China sendiri,” katanya.
Beijing sudah pun menjadi pemberi pinjaman dua hala terbesar di pulau itu, menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada hutang luar Sri Lanka.
Kenyataan Cabraal dibuat beberapa hari selepas lawatan Menteri Luar China Wang Yi yang membincangkan penstrukturan semula pembayaran hutang dengan Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Sri Lanka telah berhutang dengan China untuk infrastruktur pada masa lalu, beberapa daripadanya berakhir sebagai gajah putih.
Tidak dapat membayar balik pinjaman AS$1.4 bilion untuk pembinaan pelabuhan di selatan, Sri Lanka terpaksa memajak kemudahan itu kepada syarikat China selama 99 tahun pada 2017.
Amerika Syarikat dan India telah memberi amaran pelabuhan Hambantota, yang terletak di sepanjang laluan perkapalan antarabangsa timur-barat yang penting, boleh memberikan China kuasa tentera di Lautan Hindi.
Cabraal tidak memberi petunjuk tentang saiz pinjaman yang diminta dari China, namun berkata rundingan juga sedang dijalankan dengan India untuk saluran kredit AS$1 bilion bagi membiayai pelbagai jenis import.
Beliau juga berkata Colombo akan membayar balik bon berdaulat AS$500 juta yang matang pada Selasa depan walaupun pemimpin perniagaan tempatan secara terbuka memintanya untuk menahan pembayaran balik dan mendapatkan bantuan IMF. – AFP, 12 Januari, 2022.
Komen