Hakim syarie disiasat gangguan seksual buat laporan balas


Kalidevi Mogan Kumarappa

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan polis menyiasat seorang hakim kanan syariah atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita yang sudah berkahwin dengan berbaring dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidurnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

HAKIM kanan syarie yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas isteri orang membuat laporan polis balas menafikan tuduhan wanita itu terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Mohamad Farouk Eshak, hakim itu membuat laporan balas beberapa hari selepas mangsa membuat laporan.

“Hakim itu mendakwa wanita berkenaan membuat laporan polis palsu terhadapnya. Kes masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berhubung kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan polis menyiasat seorang hakim kanan syariah atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita yang sudah berkahwin dengan berbaring dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidurnya.

Kejadian itu didakwa berlaku Ogos 2020 dan wanita itu membuat laporan polis pada Disember.

Kejadian didakwa berlaku ketika hakim berkenaan singgah di rumah wanita itu, yang tinggal bersama suaminya yang pada masa itu terlantar sakit. 

Suami wanita itu meninggal dunia Oktober 2021.

Dalam laporannya wanita itu mendakwa hakim berkenaan memohon kebenaran untuk menggunakan biliknya untuk menunaikan solat.

Hakim itu bagaimanapun terlalu lama berada di dalam bilik, dan didapati sedang tidur di atas katil dalam keadaan bogel apabila diperiksa pengadu.

Pengadu mendakwa hakim itu meninggalkan rumahnya pada jam 3 pagi dan memberitahu beliau berbogel untuk mengujinya. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen