Lelaki bakar kabel internet perlahan dipenjara 7 tahun


Lelaki bernama Lan itu berada di sebuah kafe internet di selatan wilayah Guangxi, China pada Jun lalu selepas kecewa dengan kelajuan sambungan internet yang sangat perlahan. – Gambar EPA, 12 Januari, 2022.

SEORANG lelaki di China telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana membakar peralatan internet selepas berang capaian internet sangat perlahan, kata pihak berkuasa.

Lelaki bernama Lan itu berada di sebuah kafe internet di selatan wilayah Guangxi pada Jun lalu sel kecewa dengan kelajuan sambungan internet yang sangat perlahan.

Dia bertindak balas dengan memusnahkan kotak yang mengandungi kabel rangkaian gentian optik, kata mahkamah tempatan dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mahkamah berkata lelaki itu “menggunakan pemetik api untuk membakar kain yang ada padanya sebelum membakar kotak telekomunikasi di persimpangan jalan raya”.

Kebakaran itu menyebabkan hampir 4,000 isi rumah dan pejabat, termasuk hospital awam, kehilangan akses internet selama 28 hingga 50 jam.

“Selepas kejadian itu, pegawai keselamatan awam merampas alat jenayah Lan iaitu sebuah pemetik api,” menurut mahkamah di Cenxi.

Lan kemudiannya dikenakan hukuman penjara tujuh tahun kerana “memusnahkan kemudahan telekomunikasi awam”.

Kisah itu mencetuskan ejekan meluas di China, dengan seorang pengguna Weibo menggelar lelaki itu sebagai “bayi besar”. – AFP, 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen