Ada apa dengan Undi18?


13 OGOS tahun lalu, Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen. Antara RUU itu ialah pelaksanaan Undi18.

Sungguhpun inisiatif ini dimulai sejak zaman Pakatan Harapan, namun Muhyiddin meneruskan hasrat murni ini di masa pemerintahannya. Ini keteguhan prinsip yang kita semua harus akui.

Kini, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Seramai 211 menyokong usul itu dan tidak ada seorang pun ahli Parlimen yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan selepas perbahasan oleh wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang

Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak, kerajaan mahu pun pembangkang.

Apa yang kita faham implikasi dari RUU Undi 18 ini?

Berdasarkan laporan terkini daripada SPR, jumlah warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta orang dan 1.2 juta daripadanya berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Pada PRU14, SPR merekodkan sebanyak 14.9 juta pengundi yang layak untuk memilih, dan dari jumlah itu SPR menjangkakan jumlah ini akan meningkat menjelang PRU 5 atau pada 2023 iaitu sekitar 22.7 juta orang pemilih.

Sebelum kita memahami dengan lebih jauh lagi dapatan dari data-data ini, mari kita fahami pula petunjuk ekonomi.

Sebelum ini, saya ada meneliti maklumat yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed yang menyatakan bahawa kadar pengangguran dikalangan belia (18-30 tahun) telah mencatatkan sedikit penurunan yang agak memberangsangkan.

Buat pertama kalinya, kadar pengangguran dalam kalangan belia turun di bawah paras sembilan peratus sejak April 2020 iaitu pada 8.9 peratus atau 502,300 orang.

Sungguhpun ini petanda yang amat baik, namun di situ jelas terdapat ruang yang luas untuk kita bekerja dengan lebih keras lagi bagi memastikan peluang pekerjaan dalam kalangan belia dapat diwujudkan bagi memastikan pemulihan ekonomi dapat segera dibuat.

Beberapa hari yang lalu, iaitu 3 Januari 2022, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) menyatakan bahawa berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi, perkembangan ini dijangka terus meningkat berbanding 2021 iaitu sekitar lima hingga enam peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

Justeru itu, implikasi besar yang wujud ketika ini setelah RUU Undi18 yang akan menyaksikan penambahan jumlah pemilih yang sangat signifikan, dengan kedudukan ekonomi semasa Malaysia yang semakin berkembang ke arah pemulihan, maka suka atau tidak agenda anak muda bukan lagi menjadi agenda sampingan atau agenda bagi sayap parti politik, sebaliknya ia menjadi agenda rakyat – agenda nasional.

Inilah yang ingin saya tekankan kepada semua rakan-rakan anak muda. Kita tidak semestinya perlu mendaftar menjadi ahli parti atau sayap pemuda hanya semata-mata ingin memperjuangkan agenda orang muda.

Tetapi kini, platform perjuangan kita orang muda sudah terbuka luas di pelbagai peringkat dan sudut. Di mana pun kita berada baik sebagai ahli parti politik Muda, Umno, PKR, Bersatu dll, NGO atau individu, wadah perjuangan kita sudah menjadi arus perdana. Kita (18 tahun ke atas) sudah automatik menjadi pemilih.

Apa yang perlu kita laksanakan ketika ini ialah bekerjasama membentuk satu suara untuk melaksanakan perubahan ekonomi dan siasah politik negara.

Hari ini, aktiviti ekonomi anak muda tak boleh lagi dilayan sebagai kerjaya berdasarkkan hobi atau seronok semata-mata sebaliknya keperluan anak muda adalah keperluan rakyat secara keseluruhannya.

Kita adalah profesional yang bukan sahaja sebagai konsumer tetapi sebagai pencipta kerjaya. Kita berpeluang untuk meneroka perniagaan dengan kreativiti dan kekuatan yang ada. Dengan kuasa undi ditangan kita, mana-mana parti politik akan pasti mengangkat suara kita sebagai agenda bersama.

Saya percaya, semua parti-parti politik ketika ini, akan sendiri menjadi remaja tanpa dipaksa-paksa kerana landskap politik telah berubah 360 darjah. Mana-mana parti yang masih mahu mengekalkan hagemoninya, akan tersisih.

Tidak ada lagi mana-mana parti politik yang boleh menjadi dominan sebaliknya para pemilih dari golongan Undi18 adalah pencetak masa depan baharu Malaysia.

Ikatan kita harus diikat kemas. Insyallah, kita akan berjaya. – 12 Januari, 2022.

* Hilman Idham merupakan Adun Gombak Setia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen