27 kematian Covid-19, semua kes tertunggak


Ravin Palanisamy

Jumlah kes kematian yang direkodkan semalam adalah yang paling tinggi sejak 4 Januari, iaitu 31 kes.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2022.

MALAYSIA merekodkan 27 kematian baharu Covid-19 semalam, yang mana sembilan daripadanya meninggal dunia di luar hospital, kata Kementerian Kesihatan.

Data GitHUb Kementerian Kesihatan menunjukkan semua kematian terbabit adalah kes tertunggak.

Jumlah kematian yang direkodkan semalam adalah yang paling tinggi sejak 4 Januari, iaitu 31 kematian.

Ini menjadikan jumlah kes kematian seluruh negara kepada 31,723, yang mana 6,401 daripadanya diklasifikasikan sebagai kes kematian luar hospital.

Angka kematian harian ialah jumlah yang dilaporkan pada hari itu ditambah kes yang baru disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan disebabkan Covid-19 selepas siasatan.

Selangor merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu sembilan, yang mana dua daripadanya adalah kes kematian luar hospital.

Negeri lain yang turut merekodkan kes kematian baharu termasuk Johor dan Terengganu (masing-masing empat), Kuala Lumpur dan Sabah (masing-masing tiga), Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing satu).

Tiada kes kematian berkaitan koronavirus direkodkan di Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Selain dua kes kematian luar hospital yang direkodkan di Selangor, tujuh lagi adalah di Sabah (dua), Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kuala Lumpur (masing-masing satu kes).

Kadar kematian domestik Covid-19 adalah pada 0.6%, manakala purata kematian akibat jangkitan adalah tujuh bagi setiap sejuta orang. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen