PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un secara peribadi melihat sendiri ujian peluru berpandu hipersonik, lapor media kerajaan hari ini, yang merupakan pelancaran kedua oleh negara bersenjata nuklear itu dalam tempoh kurang seminggu.
Peluru berpandu yang membawa pemacu hipersonik mengenai sasaran yang disasarkan di perairan 1,000 km,” kata Korea Central News Agency (KCNA).
Gambar yang disiarkan di laman web Rodong Sinmun, akhbar rasmi parti pemerintah, menunjukkan Kim Jong Un memakai kot hitam dan menggunakan teropong untuk melihat pelancaran peluru berpandu dari platform tontonan mudah alihnya.
“Kebolehgerakan pemacu hipersonik itu disahkan dengan lebih jelas melalui tembakan ujian terakhir,” kata laporan KCNA.
Imej lain dalam Rodong Sinmun menunjukkan peluru berpandu dilancarkan pada awal pagi, dan Kim membincangkan sesuatu dengan pegawai beruniform.
Ini merupakan ujian ketiga peluru berpandu hipersonik Korea Utara setakat ini.
Ujian pertama dilancarkan pada September 2021 dan yang kedua seminggu selepas itu.
Tentera Korea Selatan berkata pelancaran peluru berkenaan mencapai kelajuan hipersonik dan menunjukkan tanda-tanda jelas “perkembangan” daripada ujian minggu lepas.
Peluru berpandu hipersonik bergerak pada kelajuan Mach 5 dan lebih tinggi dan boleh digerakkan di tengah penerbangan, menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan dipintas. – AFP, 12 Januari, 2022.
Komen