3 minggu selepas banjir, penduduk Hulu Langat masih bersihkan rumah


Raevathi Supramaniam

Rata-rata penduduk yang ditemui menjangkakan kerja pembersihan akan disiapkan pada akhir bulan ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Januari, 2022.

TIGA minggu selepas banjir memusnahkan sebahagian besar Hulu Langat, penduduk di situ masih membersihkan sampah dan lumpur dari rumah mereka.

Penduduk yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka menjangkakan kerja pembersihan akan disiapkan pada akhir bulan ini.

Mereka bagaimanapun khuatir untuk melengkapkan kediaman mereka dengan peralatan dan perabot kerana bimbang kawasan itu akan ditenggelami banjir sekali lagi, akibat musim tengkujuh.

Mohd Yusoff, 55, ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Nanding berkata beliau menjangkakan kerja-kerja pembersihan itu selesai sebelum Tahun Baharu Cina.

“Hanya 50% rumah bersih, saya masih perlu membersihkan semua pakaian yang rosak akibat banjir dan lumpur,” katanya.

Yusoff yang tinggal bersama isterinya berkata, mereka terpaksa menanggalkan kabinet dapur dan membuang barangan elektrik seperti mesin basuh, televisyen dan komputer riba.

“Paras air mencecah tujuh kaki dan selepas surut, terdapat lebih satu kaki lumpur.

“Kami bernasib baik, ada sukarelawan yang datang membantu kami membersihkan rumah,” katanya sambil menambah bahawa kerja-kerja pembersihan itu amat meletihkan.

Walaupun 90% daripada barangan di rumahnya rosak, Yusoff berkata beliau tidak berhasrat untuk menggantikannya dalam masa terdekat.

Kerugian berjumlah lebih RM100,000 katanya.

“Kerja pembaikan, kerja mengecat, menggantikan semua peralatan dan tilam perlu ditangguhkan dulu.

“Sehingga seluruh rumah bersih dan keadaan lebih stabil, kami hanya akan menggunakan barangan yang disumbangkan kepada kami.”

Bagi Nor Ibrahtul Farwizah, 22, rumah keluarganya sedang dalam proses pengubahsuaian ketika banjir melanda Taman Sri Nanding.

Kerja-kerja pembersihan di rumahnya terpaksa ditangguhkan kerana beliauy dan keluarganya perlu membersihkan rumah sewa mereka, juga di kawasan yang sama, sebelum mereka dapat menumpukan perhatian di rumah keluarga itu.

Sebahagian penduduk membersihkan kawasan rumah mereka yang dilanda banjir di Hulu Langat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Januari, 2022.

“Rumah kami sedang dalam proses pengubahsuaian dan ia sepatutnya siap pada pertengahan Disember. Sementara menunggu siap, kami menyewa rumah di tepi jalan.

“Apabila banjir melanda, kami terpaksa fokus membersihkan rumah sewa dahulu kerana di situlah kami tinggal sementara.

“Kami baru sahaja memulakan kerja pengubahsuaian rumah, tetapi semua sisa banjir bercampur dengan bahan binaan,” kata Ibrahtul.

Walaupun rumah itu dalam proses pengubahsuaian, semua barangan rumah ditinggalkan dan ditenggelami air, katanya.

Pengubahsuaian rumah itu kini telah ditangguhkan selama dua hingga tiga bulan, tambahnya.

Beliau dan keluarganya juga tidak berhasrat untuk membeli perabot dan peralatan baru dalam masa terdekat.

“Kami dengar bahawa mungkin terdapat gelombang kedua atau ketiga, jadi kami akan menunggu sebelum kami membeli perabot dan peralatan baharu.”

Di Sg Lui, sebahagian besar lumpur dan sampah sisa banjir telah dibersihkan dari jalan utama, penduduk masih membersihkan rumah mereka.

Paras air di sini mencecah sehingga 12 kaki, menyebabkan ramai yang terkandas di atas bumbung.

Din, 55, sedang sibuk mencuci karpet ketika ditemui di rumahnya di Sg Lui.

“Saya rasa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan lagi untuk membersihkan rumah saya. Walaupun sukarelawan datang untuk membantu membersihkan, kami masih perlu mencuci lagi rumah.”

Menurutnya ia mengambil masa enam hari hanya untuk menyodok semua lumpur di depan pintu rumahnya.

Din yang tinggal di rumah kampung yang dibina di atas tiang juga terpaksa menggantikan tiang asasnya yang retak akibat arus deras.

“Semua yang ada di dalam rumah sudah musnah. Walaupun semua lumpur telah dibersihkan, masih terdapat banyak debu.”

Beliau juga bersetuju bahawa mungkin terlalu awal untuk melengkapkan rumahnya dengan barangan baharu.

“Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan, semuanya di tangan Tuhan.”

Seorang lagi penduduk Ahmad Firdaus, 30, lebih bertuah kerana paras air di rumahnya hanya mencecah sehingga buku lali.

“Dengan bantuan rakan-rakan saya, saya dapat mengemas rumah saya. Hanya beberapa barang sahaja yang rosak tetapi kebanyakan peralatan masih elok untuk digunakan,” katanya.

Hujan lebat pada hujung minggu 18 Disember lalu menyaksikan sebahagian besar Lembah Klang dinaiki air.

Hulu Langat antara kawasan yang terjejas teruk dengan paras air sehingga ke bumbung manakala rumah berhampiran sungai dihanyutkan arus deras.

Walaupun kebanyakan penduduk telah pulang ke rumah masing-masing selepas menghabiskan beberapa hari dan minggu di pusat pemindahan sementara banjir, pembersihan masih diteruskan. – 12 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen