Bagaimana menjadikan penjahat rasuah tiba-tiba suci?


Faisal Tehrani

INI mungkin sebuah tulisan yang sukar saya tulis, entah kenapa. Saya harus melakukannya, kerana saya percaya kita bukan sahaja melawan tirani, tetapi juga kita harus melawan ketidakadilan diri sendiri.

Terdapat beberapa iktibar yang boleh diambil hasil dari perlawanan Maria Ressa, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2021 dari Filipina dengan Facebook. Ya, Facebook.

Pelajaran itu antara lain adalah kita melawan dengan kebertanggungjawaban. Ya, melawan juga ada tanggungjawab.

Apabila Maria Ressa menentang Presiden Duterte di Malacanang, beliau ikut bertempur dengan Facebook. Kata Ressa: “Ia adalah mengenai Mark Zuckerberg dan Facebook, iaitu internet kita.” Duterte sedang menggabungkan ‘perang dadahnya’ dengan operasi seleweng fakta (atau baca: operasi menyebar auta).

Tambah Ressa, “Jika ada warga Filipina bertanyakan tentang mayat yang bergelimpangan, mereka akan dilanda oleh akaun [Facebook] untuk mendiamkan mereka.”

Demikianlah Raja-raja Korupsi dalam kalangan politikus melakukannya di banyak negara. Di Kazakhstan misalnya ia dilakukan minggu ini. Untuk menguasai naratif utama dalam kalangan masyarakat, mereka menggunakan helah, bahawa mereka juga (konon) sebahagian daripada penentang rasuah.

Untuk itu mereka menggunakan wadah yang sama iaitu media sosial (boleh jadi Facebook, Twitter) untuk menyebarkan berita palsu atau operasi seleweng fakta (baca: operasi menyebar auta).

Ya, Twitter bukan lagi medan adil, ia medan yang sudah dirampas penyangak yang menjadi saka. Penyangak ini menggunakan formula yang sama digunakan kita.

Media sosial boleh sangat berguna untuk menjadi medium perlawanan. Ketika Arab Spring di Timur Tengah ia dilakukan dengan Facebook. Ketika Pilihan Raya Umum ke-14, ia dilakukan dengan Twitter di Malaysia. Akan tetapi media sosial juga digunakan oleh Donald Trump untuk berkuasa dan mencengkam sebagai presiden Amerika Syarikat. 

Malah Trump memahamkan kita bagaimana orang jahat iaitu beliau sendiri, menggunakan media sosial untuk agenda kejahatan iaitu dengan memusing fakta, lantas menegakkan auta. Trump malah dapat menggerakkan penyokongnya untuk menceroboh Kongres Amerika Syarikat pada 7 Januari 2021. Demikian hebat media sosial yang disalut auta.

Tulisan ini ditulis untuk kita mendapat idea bahawa sebahagian besar daripada kita boleh menjadi ternakan tanpa disedari, mengejar loceng di kiri saat ia berbunyi, dan berkejar ke kanan bila loceng lain pula berpenggera.

Kita tidak menggunakan lagi akal untuk menimbang, dan memikir sambil mendalami latar belakang sesuatu isu.

Maka media sosial digunakan juga untuk membunuh demokrasi, tanpa sedar ramai. Bahkan media sosial boleh dicipta menjadi naratif untuk menerbalikkan orang jahat menjadi baik. Atau kejahatan orang jahat boleh sampai karam tenggelam kerana yang dibincangkan kini kisah ketua penyiasat kejahatan si Bapa Perasuah itu sendiri. 

Kita langsung lupa Bapa Perasuah dengan duit yang banyak, demikian pandai memukul genta agar berbunyi. Ya, supaya kita berlari ke kiri dan kanan memburu loceng.

Media sosial seperti ditekankan Maria Ressa, ada satu kelebihan berbanding media konvensional.

Twitter misalnya tidak memerlukan nama pengarang. Ia boleh dihujahkan sebagai whistleblower (padahal bukan). Ia tiada editor atau penyunting. Ia tiada satu mekanisme semak. Ia tidak boleh dipegang oleh undang-undang (susah menyaman mereka misalnya). Ia sensasi. Ia boleh menunggang trend semasa. Ia boleh menjadi fitnah. Dan kemudian fitnah diangkat menjadi fakta.

Ia boleh dipercayai. Ia kemudian menjadi perkakas penjahat tanpa orang awam sedari. Alih-alih ia menjadi naratif utama. Trump si penjahat dari Amerika melakukannya di sana. Duterte melakukannya di Filipina. 

Di Malaysia, ada orang sedang belajar melakukannya, dan demikian senang kita terpedaya.

Tidaklah mengejutkan Maria Ressa, menyerang Facebook, seraya menuduh ‘social media firm’ itu sebagai ancaman kepada demokrasi kerana memberi ruang kepada kepalsuan, atau daripada mulut Ressa sendiri: “biased against facts”.

Ressa bertegas yang algoritma Facebook adalah pembohongan yang berhiaskan kebencian dan pemalsuan maklumat.

Inilah sebabnya Maria Ressa menghujahkan media sosial, seperti Facebook dan Twitter kini telah menggantikan “the old gatekeepers – journalists”. Bukan itu sahaja Ressa menyatakan kita sedang menzalimi diri sendiri dengan membenarkan penipuan dan pembohongan, yang licin lancar tular kerana dipakejkan bersama kebencian dan kemarahan. 

Menurut Ressa lagi, ia adalah bom atom terhadap ekosistem maklumat masyarakat.

Akaun Twitter tertentu boleh dicipta oleh mana-mana pihak beragenda (kita hanya memerlukan motif dan kehendak kuat untuk meneliti persembahannya). Media sosial ini adalah musuh jurnalisme kerana akaun Facebook tipu boleh diwujudkan. Tiada keperluan nama pengarang. 

Dalam media sebelum ini, nama pengarang sangat penting. Saya membesar misalnya membaca byline Ahmad Lutfi Othman, atau Fathi Aris Omar atau Goenawan Mohamad. Generasi saya tidak mudah percaya sumber berita tanpa nama.

Tetapi kewujudan media sosial mengubah semua ini. Hari ini akaun Twitter misalnya dengan senang dihujahkan sebagai whistleblower. Sedangkan whistleblower ada ciri tertentu yang perlu dipenuhi. 

Mak Cik Kiah atau Mak Cik Hasnah mana-mana tidak boleh dikultuskan sebagai whistleblower hanya kerana berjaya menabur naratif dengan satu salinan foto dan laporan yang belum tentu benar kerana diautakan.

Media sosial tiada editor atau penyunting. Yang mana ia merupakan satu lapis penting dalam jurnalisme bertanggungjawab. Siapa sahaja boleh menembak curi. Termasuk penjahat seperti Trump atau Duterte. Ia tiada satu mekanisme semak.

Media sosial juga punya ciri negatif yang ia sukar diikat undang-undang. Malah saat masyarakat percaya, mereka akan bertambah kebal.

Media sosial juga boleh menjadi medan menggusur sampah. Kemarahan dan kebencian boleh dimanipulasi apabila mabuk percaya.

Serta-merta akan ada gotong royong menenggek trend semasa. Lebih mengejutkan apabila ada penjahat membunyikan loceng (konon mereka adalah suara kebenaran tapi malangnya tanpa kebertanggungjawaban), akan ada golongan terpelajar (yang punya PhD) menyahut sama. Golongan bijak pandai itu antara lain ulama dan sarjana sains politik.

Padahal setiap yang tidak diperiksa sudah tentu kita tahu dapat menjadi fitnah. Fitnah ditiup menjadi fakta. Lama kelamaan naratif bertukar. Penjahat kini menjadi kudus. Atau lebih dahsyat, yang menangkap penjahat itu kini menjadi penjahat dengan pemesongan satu dua maklumat, seperti tangkap layar yang belum didalami.

‘Pedoman’ buruk yang diajar Trump ini kini menjadi-jadi. Trump melakukannya begini; tweet satu fitnah. Konon ia fakta. Bila ditemukan salah oleh netizen, beliau akan membuat ralat. Pun ralat itu tidak setular tweet fitnah sebelum. Malah status mengenai ralat sama sekali tidak dibaca. Pun, status tweet fitnah telah berleluasa. Trump terpercaya.

Tips ini boleh dilakukan oleh siapa sahaja. Khusus untuk merosakkan keyakinan masyarakat terhadap satu-satu sistem atau agensi penguatkuasaan.

Bahkan, ia mungkin boleh dimanipulasi untuk melincirkan kes dalam perbicaraan. Maklumlah hakim juga anggota masyarakat yang terkesan oleh bom atom ledakan media sosial. Ya, realitinya memang macam filem Tamil.

Lebih parah bila media tradisional yang harus lebih bertanggungjawab terikut sama dengan permainan dan locengan yang dibunyikan oleh penjahat atau hantu media sosial ini. Para editor pun ikut serta bersamrah dengan permainan ini.

Hal inilah yang menimpa masyarakat penggemar media sosial di Malaysia dua minggu ini. Kita berhak dan wajib menegur politikus dan pentadbir negara ini. Kita juga berhak menegur mana-mana agensi. Akan tetapi pembantaian massal terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malangnya menguntungkan penjahat rasuah. 

Media sosial dengan akaun hantu kini menjadi parameter kebenaran. Ia adalah bom atom yang merosakkan tanpa disedari.

SPRM juga saya nasihatkan haruslah mengambil kira semua teguran dan kritikan anggota masyarakat. Pihak atasan agensi ini seharusnya tidak ikut mengejar bunyi loceng serta melatah. Kerja SPRM ialah membanteras korupsi. Sila teruskan, dan jangan biarkan penjahat rasuah berpestaan.

Pegawai bawah yang ikhlas berkhidmat, tidak perlu kejatuhan moral. Politikus dan lasykarnya (apa ideologi sekalipun) memang kegerunan. Memang ini bom atom, meminjam kata Maria Ressa, tetapi biar saya ingatkan; Hiroshima bangkit selepas diledakkan.

Saya tahu ramai yang akan jengkel dengan tulisan ini.

Maria Ressa pernah mengalaminya. Saya akan mengalaminya. Kita semua melihat bagaimana jerit perih Ressa melawan berita palsu dan akaun hantu, sebelum dianugerah Nobel. 

Tak akan ada Nobel untuk Faisal Tehrani, tapi tak mengapalah, sebelum mati satu hari nanti; saya paling-paling pernah berpesan bahawa, dalam pada kita taksub parti politik atau ahli politik tertentu, kita terlupa kita bukan sahaja melawan tirani yang ada, tetapi juga kita harus melawan ketidakadilan diri sendiri.

Memang ini sebuah tulisan yang sukar saya tulis, entah kenapa. – 12 Januari, 2022.    

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen