MAHKAMAH Tinggi Syariah di Kuala Lumpur, hari ini menangguhkan perbicaraan tuntutan harta sepencarian kira-kira RM1 bilion yang dikemukakan Kalsom Ismail, balu bekas menteri, Allahyarham Jamaludin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 7 April ini.
Hakim Syarie Haznita Hamidon menetapkan tarikh itu kerana terdapat beberapa isu berkaitan dokumen yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak termasuk pernyataan keterangan plaintif (Kalsom) yang baharu difailkan dan diserahkan kepada pihak defendan hari ini.
Peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima berkata pihak plaintif memfailkan dan menyerahkan dokumen berkaitan termasuk pernyataan keterangan plaintif hari ini, yang perlu diteliti pihaknya terlebih dahulu sebelum perbicaraan.
“Ekoran kelewatan pemfailan dan penyerahan dokumen tersebut, saya yang mewakili defendan kelima iaitu Puan Aminah memohon kos sebanyak RM100,000 yang perlu dibayar oleh plaintif berdasarkan beberapa faktor antaranya usia defendan kelima dan kegagalan pihak plaintif memfailkan pernyataan keterangannya tujuh hari sebelum perbicaraan bermula.
“Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan kos tersebut,” kata Nur Hidayah ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ini yang sepatutnya hari pertama perbicaraan.
Nur Hidayah turut dibantu peguam Zaid Abdul Aziz, Mohamad Shahril Mohamad Nasir dan Farhan Haziq Mohamed.
Media yang membuat liputan perbicaraan kes itu tidak dibenarkan memasuki mahkamah kecuali pihak terlibat dibenarkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mahkamah ekoran Covid-19.
Sementara itu, Peguam Syarie Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom berkata pihaknya memfailkan pernyataan keterangan plaintif dan menyerahkannya kepada pihak defendan serta bersedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini.
“Kes ini akan mengambil masa yang lama dan kami masih belum memutuskan berapa ramai saksi yang perlu dipanggil selain Kalsom,” katanya.
Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mertuanya Aminah sebagai defendan.
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias; ahli perniagaan Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran; serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – Bernama, 11 Januari, 2022.
Komen