BERIBU bangsa Kurdish berhimpun di hadapan bangunan Majlis Eropah di bandar Strasbourg, Perancis sebagai simbol perlawanan terhadap serangan Turki terhadap militan Kurdish di barat laut Syria.
Pada 20 Januari, Ankara melancarkan kempen ketenteraan di Afrin terhadap militan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) di Syria yang digelar Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebagai kumpulan pengganas.
Menurut penganjur himpunan itu, seramai 7,000 demonstran turun ke Strasbourg sambil mengangkat sepanduk mengutuk Erdogan sebagai pembunuh.
Bagaimanapun, menurut pihak polis, lebih kurang 1,600 sahaja yang turun membuat demonstrasi itu.
Pun begitu, daripada pemerhatian wartawan AFP, kedengaran jeritan seperti “Erdogan diktator,” dan “pembunuh senyap,” oleh para pembantah.
Dipercayai rata-rata pembantah itu datang dari Belanda, Austria dan Jerman untuk membantah di Majlis Eropah sebelum bergerak menuju pusat bandar Strasbourg.
Selain bunting dan sepanduk, ada juga pembantah membawa bersama potret wajah pemimpin Parti Pekerja Kurdistan (PKK) Abdullah Ocalan yang telah ditangkap sejak 1999 dan dikurung dalam Penjara Pulau Imrali berdekatan Istanbul.
“Kami nak suarakan amaran ini sebab penduduk Kurdish di Afrin menentang Daesh selain pembunuhan beramai-ramai turut berlaku di sana sekarang ini. Pemimpin Eropah pula buat senyap,” kata pembantah Suleyman Akguc kepada AFP.
Sementara itu di Paris, polis menjangka seramai 2,100 pembantah bergerak menuju Place de la Republique dari Gare de l’Est.
Di Paris, mereka membawa bersama bunting yang tertulis: “Pertahan Afrin = pertahan revolusi kaum wanita,” selain “Si fasis Turki Erdogan akan dikebumikan di Afrin.” – AFP, 4 Februari, 2018.
Komen