Jepun lanjut langkah ketat sempadan susulan kes Covid meningkat


Matahari senja di atas Gunung Fuji, Jepun, ketika negara itu bersedia mengetatkan lagi kawalan sempadan berikutan lonjakan Covid-19 yang menular secara tempatan. – Gambar EPA, 11 Januari, 2022.

JEPUN akan melanjutkan langkah menyekat hampir semua ketibaan asing baharu sehingga akhir Februari dan membuka semula pusat vaksinasi besar-besaran ketika ia bergelut memerangi lonjakan Covid-19 yang didorong oleh Omicron, kata kerajaan pada Selasa.

“Kami akan kekalkan dasar kawalan sempadan semasa sehingga akhir Februari sambil mengambil langkah yang perlu dari sudut kemanusiaan dan mempertimbangkan kepentingan negara,” kata Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida kepada pemberita.

Media tempatan berkata akan ada beberapa pengecualian baharu untuk ahli keluarga Jepun serta pelajar yang belajar di Jepun namun belum ada butiran segera daripada pegawai.

Kerajaan juga akan membuka semula pusat vaksinasi berskala besar yang dikendalikan oleh Pasukan Pertahanan Diri, dan meminta kerajaan tempatan membuka semula tapak inokulasi besar-besaran mereka sendiri untuk mempercepatkan suntikan penggalak, kata Kishida.

Jepun telah mengenakan langkah kawalan sempadan yang ketat, seperti kuarantin dan ujian saringan yang kerap terhadap mereka yang memasuki negara itu.

Namun di sebalik usaha itu, varian Omicron masih juga menular secara tempatan dan Jepun menyaksikan peningkatan mendadak kes virus.

“Walaupun strain Omicron dikatakan mempunyai nisbah kes serius yang rendah, jika jumlah jangkitan meningkat, jumlah kes serius akan meningkat dan memberi tekanan kepada sistem perubatan,” kata Kishida menyeru orang ramai untuk terus berwaspada.

Kerajaan telah meluluskan sekatan virus baharu untuk tiga wilayah, dan tentera Amerika Syarikat di Jepun telah menghalang tenteranya daripada melakukan perjalanan luar pangkalan yang tidak penting selama dua minggu selepas muncul kluster tentera dan komuniti.

Secara keseluruhan, kadar jangkitan Jepun kekal rendah, dengan 8,249 kes dilaporkan di seluruh negara pada Ahad.

Tetapi jumlahnya semakin meningkat, dan angka pada Ahad adalah antara paras tertinggi sejak September.

Negara itu merekodkan lebih 18,400 kematian sejak pandemik melanda. – AFP, 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen