ENAM banduan terbunuh dan 33 cedera ketika bergaduh di penjara yang sesak di Filipina, kata pihak berkuasa pada Selasa, dalam kejadian kedua seumpama itu sejak beberapa minggu.
Pergaduhan maut itu berlaku pada Isnin antara geng yang bermusuhan di Penjara Caloocan City di Wilayah Ibu Negara, kata jurucakap Biro Pengurusan Penjara dan Penologi Xavier Solda.
Siasatan sedang dijalankan terhadap punca keganasan yang dikatakan Solda bermula sebagai pergaduhan antara dua banduan sebelum yang lain menyertai pergaduhan itu. Tidak jelas apakah senjata yang digunakan.
Larangan lawatan keluarga sejak permulaan pandemik mungkin antara faktor kejadian itu, kata Solda.
“Sudah hampir dua tahun kami tidak ada lawatan fizikal di fasiliti kerana Covid-19, jadi kami tidak boleh ketepikan sudut yang ini boleh menjadi salah satu sebab mengapa orang lain turut serta dalam pergaduhan antara kedua-duanya banduan,” kata Solda kepada AFP.
Keselamatan telah dipertingkatkan untuk mengekalkan ketenteraman di penjara tersebut, tambahnya.
Keganasan adalah perkara biasa di penjara Filipina di mana infrastruktur yang tidak mencukupi dan sistem kehakiman yang bergerak perlahan menyebabkan sel kadangkala diisi hingga lima kali ganda kapasitinya.
Kira-kira 1,900 banduan telah dihimpit ke dalam Penjara Caloocan City yang direka untuk kurang daripada 200 orang, kata Solda.
Insiden terbaharu berlaku selepas pergaduhan di Penjara New Bilibid di ibu negara pada 2 Januari menyebabkan tiga banduan maut dan 14 cedera.
Senapang buatan dan senjata berbilah digunakan dalam pertempuran di penjara terbesar negara itu. – AFP, 11 Januari, 2022.
Komen