PRESIDEN Parlimen Eropah David Sassoli meninggal dunia pada awal Selasa di hospital di Itali, kata jurucakapnya.
Sassoli, 65, sakit tenat di hospital sejak lebih dua minggu berikutan kegagalan sistem imun.
“David Sassoli meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi 11 Januari di CRO di Aviano, Itali, di mana beliau dimasukkan ke hospital,” kata jurucakapnya Roberto Cuillo menerusi ciapan di Twitter.
“Tarikh dan tempat pengebumian akan dimaklumkan nanti.”
Bekas pembaca berita televisyen itu telah berada di hospital sejak 26 Disember kerana “komplikasi serius akibat kegagalan sistem imun,” kata Cuillo pada Isnin, mengumumkan pembatalan aktiviti rasmi Sassoli.
Sassoli sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru pada September lalu.
Parlimen Eropah bersidang untuk tempoh lima tahun antara pilihan raya, tetapi presiden badan itu berkhidmat untuk separuh masa itu.
Sassoli sudah menyatakan beliau tidak akan bertanding semula.
Beliau dilahirkan pada 30 Mei 1956, di Florence, Itali.
Selepas kerjaya selama tiga dekad sebagai wartawan Itali, bermula di akhbar kemudian beralih ke televisyen dan menjadi pembaca berita terkenal di seluruh negara, Sassoli menjadi ahli Parlimen Eropah pada 2009, dan speaker pada 2019.
Beliau merupakan ahli Perikatan Progresif Sosialis dan Demokrat berhaluan tengah, kumpulan kedua terbesar di Parlimen selepas Parti Rakyat Eropah yang berhaluan tengah.
Tidak seperti beberapa pegawai EU, yang bercakap dalam bahasa Inggeris dan Perancis dalam penampilan awam, Sassoli menggunakan bahasa Itali.
Pada Selasa minggu depan, anggota Parlimen dijangka mengadakan pusingan pertama pengundian untuk penggantinya. – AFP, 11 Januari, 2022.
Komen