Prof Pierre-Olivier Gourinchas dilantik ketua ekonomi IMF


IMF umum pelantikan profesor di University of California, Berkeley, Pierre-Olivier Gourinchas sebagai ketua ekonomi institusi itu. – Gambar EPA, 11 Januari, 2022.

PENGARAH Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva mengumumkan pelantikan profesor di University of California, Berkeley, Pierre-Olivier Gourinchas sebagai ketua ekonomi institusi itu, lapor Xinhua.

Gourinchas yang menyertai UC Berkeley pada 2003, kini merupakan pengarah fakulti Pusat Clausen untuk Perniagaan dan Polisi Antarabangsa. Beliau juga merupakan penolong profesor ekonomi di Universiti Princeton dan Universiti Stanford.

Gourinchas juga pernah menjadi pengarah program Kewangan Antarabangsa dan Makroekonomi di Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan (NBER), sebuah organisasi AS bukan berasaskan keuntungan dan bukan partisan. Dari 2012 hingga 2013, beliau merupakan ahli Majlis Penasihat Ekonomi Perancis kepada Perdana Menteri.

Dari 2009 hingga 2016, Gourinchas menjadi sarjana pelawat IMF dan ketua pengarang Kajian Ekonomi IMF, jurnal penyelidikan utama Dana itu, menurut organisasi itu.

“Saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan Pierre-Olivier akan menyertai kami sebagai ketua ekonomi IMF yang seterusnya,” kata Georgieva dalam satu kenyataan, menggambarkan ahli ekonomi Perancis itu sebagai sarjana dan pengamal makroekonomi yang cemerlang dan sangat berpengetahuan dalam masalah ekonomi global.

Gourinchas akan memulakan tugasnya sebagai ketua ekonomi baharu IMF pada 24 Januari, secara sambilan sementara menyelesaikan beberapa komitmen mengajar sebelum ini, dan memulakan tugas sepenuh masa pada 1 April, 2022, menurut kenyataan itu.

Gourinchas akan menggantikan Gita Gopinath sebagai kaunselor ekonomi dan pengarah Jabatan Penyelidikan Dana.

Oktober lalu, Gopinath yang menyertai IMF sebagai ketua ekonomi pada awal 2019, berkata beliau bercadang untuk kembali ke Universiti Harvard pada Januari 2022.

Namun, pada awal Disember, Georgieva tanpa diduga mengumumkan Gopinath akan menggantikan Geoffrey Okamoto sebagai timbalan pengarah urusan pertama institusi itu. – Bernama, 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen