PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador, semalam mengesahkan dijangkiti Covid-19 untuk kali kedua dan mengalami gejala sederhana.
“Saya disahkan positif Covid-19 dan walaupun mengalami gejala sederhana, saya akan tetap menjalani proses pengasingan serta hanya menjalankan tugas seharian secara maya sehingga sembuh,” katanya di Twitter.
Terdahulu, pemimpin berusia 68 tahun yang jarang memakai pelitup muka itu hadir pada sidang media harian, dengan suaranya garau.
Menyedari perubahan itu, beliau memaklumkan akan melakukan saringan kesihatan, namun percaya dijangkiti selesema.
Lopez Obrador dilaporkan dijangkiti Covid-19 kali pertama pada awal 2021 dan menerima vaksin AstraZeneca, termasuk dos penggalak pada 7 Disember, tahun lalu.
Seperti negara lain, Mexico merekodkan peningkatan kadar jangkitan harian berikutan kemunculan varian Omicron dan majlis sosial dalam kalangan keluarga menjelang akhir tahun lalu.
Setakat Jumaat lalu, Mexico mencatatkan kadar kematian kelima tertinggi di dunia, melepasi paras 300,000 kes. – AFP, 11 Januari, 2022.
Komen