Hartawan si pembunuh, Robert Durst meninggal dunia


Pewaris hartanah dan pembunuh, Robert Durst meninggal dunia di penjara California, semalam pada usia 78 tahun. – Gambar EPA, 11 Januari, 2022.

PEWARIS hartanah dan pembunuh, Robert Durst meninggal dunia di penjara California, semalam.

Peguam Chip Lewis berkata anak guamnya yang berusia 78 tahun itu menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami masalah perubatan yang berulang kali dimaklumkan kepada mahkamah dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Durst disabitkan bersalah tahun lalu atas pertuduhan menembak rakannya, Susan Berman pada Disember 2020, di kediaman wanita terbabit dekat Los Angeles.

Pihak pendakwa berkata suspek membunuh Berman bagi menghalang wanita itu membantu siasatan polis yang akan mendapati Durst bersalah terhadap kehilangan isteri pertamanya, Kathleen Durst, 18 tahun lalu.

Isteri Durst berusia 29 tahun ketika dilaporkan hilang dan mayatnya tidak pernah dijumpai.

Durst hanya didakwa atas pertuduhan membunuh pada Oktober tahun lalu.

Beliau adalah subjek dokumentari HBO berjudul: “The Jinx: The Life and Deaths of Robert Durst.”

Dalam episod terakhir, Durst dikatakan berbisik sendirian, “Pastinya, bunuh mereka semua” – tanpa menyedari mikrofon yang dipakainya sedang terpasang ketika dia berada di bilik rehat.

Siri dokumentari itu turut memaparkan insiden kematian pada 2001 dan tragedi pembunuhan ngeri, membabitkan jiran Durst di Texas, Morris Black.

Durst mendakwa dia membunuh sebagai tindakan mempertahankan dirinya dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Durst adalah cucu kepada pengasas firma hartanah terbesar di Manhattan.

Nilai kekayaan Durst dianggarkan AS$100 juta. – AFP, 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen