PFIZER menjangkakan vaksin Covid-19 yang menyasarkan varian Omicron akan siap pada Mac, kata ketua syarikat itu semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Albert Bourla memberitahu CNBC bahawa Pfizer sudah pun mengeluarkan dos apabila pihak berkuasa berdepan dengan jumlah jangkitan Covid-19 yang besar termasuk sejumlah besar kes Omicron dalam populasi yang divaksin.
“Vaksin ini akan siap pada Mac.
“Saya tidak tahu sama ada kita memerlukannya. Saya tidak tahu sama ada dan bagaimana ia akan digunakan,” kata Bourla kepada rangkaian itu.
Bourla berkata dua suntikan vaksin dan penggalak sudah menyediakan perlindungan “munasabah” terhadap kesan kesihatan yang serius daripada Omicron.
Tetapi vaksin yang tertumpu secara langsung pada varian Omicron juga akan melindungi daripada jangkitan strain yang terbukti sangat menular tetapi juga mengakibatkan banyak kes ringan atau tanpa gejala.
Dalam temubual berasingan dengan CNBC semalam Ketua Pegawai Eksekutif Moderna Stephane Bancel berkata syarikat itu sedang membangunkan dos penggalak yang boleh menangani Omicron dan strain baru muncul pada musim gugur 2022.
“Kami sedang berbincang dengan pemimpin kesihatan awam di seluruh dunia untuk memutuskan apa yang kami fikir adalah strategik terbaik untuk penggalak yang berpotensi untuk musim gugur 2022,” katanya. – AFP, 11 Januari, 2022.
Komen