Filipina gesa Indonesia tamat sekatan eksport arang batu


Indonesia menghentikan seketika eksport arang batu pada Januari untuk mengelak krisis tenaga yang semakin meruncing di negara itu. – Gambar EPA, 10 Januari, 2022.

JABATAN Tenaga Filipina pada Isnin meminta Indonesia menarik balik larangannya terhadap eksport arang batu dengan menyatakan dasar itu akan “memudaratkan” negara yang bergantung kepada arang batu seperti Filipina, lapor Xinhua.

Indonesia menghentikan seketika eksport arang batu pada Januari untuk mengelak krisis tenaga yang semakin meruncing di negara itu.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Tenaga Filipina Alfonso Cusi menekankan “kerjasama ekonomi yang sihat antara Filipina dan Indonesia,” dengan menyebut “dasar terbaharu Indonesia akan memudaratkan ekonomi yang bergantung pada sistem penjanaan tenaga menggunakan arang batu seperti di Filipina”.

Menurut Cusi, Filipina memperoleh 2.3 juta tan metrik arang batu setiap bulan dari Indonesia untuk menjana loji janakuasa arang batu negara itu pada 2021.

“Tenaga yang dijana daripada arang batu merangkumi kira-kira 60% daripada permintaan tenaga negara,” kata Cusi. – Bernama, 10 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen